Sorting by

×

SWM ENVIRONMENT, KOLEJ KOMUNITI JASIN JALIN KERJASAMA STRATEGIK DALAM PENGURUSAN SISA MAMPAN

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

JASIN 7 Julai – SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) dan Kolej Komuniti Jasin (KKJS) memeterai Surat Hasrat (LoI) sebagai langkah awal ke arah mewujudkan kerjasama strategik dalam pelbagai bidang berkaitan pengurusan sisa mampan dan ekonomi kitaran.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, kerjasama itu membuka peluang kepada kedua-dua pihak untuk meneroka pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada pelajar, tenaga pengajar, kakitangan serta komuniti setempat.

Menurut beliau, antara fokus kerjasama yang akan diterokai termasuk perkongsian ilmu dan kepakaran, penggunaan peralatan serta fasiliti, selain memperkukuh kolaborasi dalam bidang perundingan, latihan, persijilan profesional dan pengiktirafan berkaitan.

“Menerusi kerjasama strategik ini, SWM Environment dan KKJS akan meneroka pelbagai aspek yang mampu memberi nilai tambah kepada kedua-dua organisasi, khususnya dalam pembangunan modal insan, pendidikan serta pemerkasaan komuniti.

“Kerjasama ini turut merangkumi pelaksanaan program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) dan Pendidikan Islam Sepanjang Hayat (PISH), selain aktiviti kemasyarakatan, pembangunan insan dan keusahawanan yang dapat meningkatkan kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Surat Hasrat antara SWM Environment dan KKJS yang berlangsung di Kolej Komuniti Jasin, Merlimau, baru-baru ini, yang turut dihadiri Pengarah KKJS, Sr. Mohamad Kelana Juwit.

Menurut Mohd Norlisam, kedua-dua pihak juga bakal menyediakan ruang promosi dan pameran dalam program yang dianjurkan bersama selain meneroka bentuk kerjasama baharu yang dipersetujui dari semasa ke semasa.

Menurutnya, kerjasama itu mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkukuh hubungan antara sektor industri dan institusi pendidikan bagi melahirkan masyarakat yang lebih berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.

“Kami berharap dapat berkongsi pengalaman serta kepakaran industri yang dimiliki bagi memberi nilai tambah kepada pelajar dan warga Kolej Komuniti Jasin, sekali gus membantu melahirkan generasi yang lebih peka terhadap amalan kelestarian dan pengurusan sisa secara mampan,” ujarnya.

Sementara itu, Sr. Mohamad Kelana berkata, sebagai institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), KKJS sentiasa komited memperluaskan jaringan kerjasama bersama pihak industri bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Katanya, kerjasama strategik bersama SWM Environment akan memberi peluang kepada pelajar memperoleh pengalaman pembelajaran yang lebih holistik selain melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.

“KKJS berharap jalinan kerjasama ini akan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan lebih banyak program berimpak tinggi melibatkan warga kolej, komuniti setempat dan rakan strategik pada masa hadapan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2176
Kongsi :
Previous post PEMAJU DISARAN BINA KEMUDAHAN IKUT KEPERLUAN RAKYAT – KETUA MENTERI
Next post FIRMA BUMIPUTERA PERKASA INDUSTRI PENILAIAN HARTANAH MELAKA