
MAIM AMBIL BERAT KEHIDUPAN 5 KELUARGA ASNAF SUNGAI RAMBAI
SUNGAI RAMBAI 7 Julai – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) terus komited memastikan kebajikan golongan asnaf sentiasa diberi perhatian menerusi Ziarah Kasih yang diadakan bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR).
Sesi ziarah itu menyaksikan lima keluarga asnaf di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai disantuni bagi meninjau sendiri keadaan kehidupan, kesihatan dan keperluan semasa mereka selain memastikan tiada golongan yang tercicir daripada menerima bantuan sewajarnya.
MAIM dalam satu kenyataan berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan dalam mendekati golongan asnaf dan menilai sendiri keperluan mereka supaya bantuan yang disalurkan lebih bersasar serta memberi impak kepada penerima.
“MAIM sentiasa komited dan cakna terhadap kebajikan golongan asnaf di negeri ini, khususnya melibatkan aspek kesihatan, pendidikan anak-anak asnaf serta usaha meningkatkan taraf kehidupan mereka.
“Lawatan seperti ini memberi peluang kepada MAIM untuk melihat dengan lebih dekat keadaan sebenar penerima bantuan selain mengenal pasti keperluan tambahan yang boleh dipertimbangkan dari semasa ke semasa.
“Keutamaan MAIM bukan sahaja membantu meringankan beban kehidupan asnaf, malah memastikan mereka mempunyai peluang untuk keluar daripada kelompok kemiskinan melalui pelbagai bentuk bantuan dan program pemerkasaan ekonomi yang disediakan,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, ziarah kasih itu diketuai Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Timbalan Pengerusi MAIM Datuk Rahmad Mariman dan turut bersama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai Datuk Siti Faizah Abd. Azis.
Pada program itu, Rahmad dan Siti Faizah bukan sahaja hadir bertanya khabar kepada keluarga asnaf, bahkan turut menyampaikan sumbangan kit makanan, wang tunai, lampin pakai buang serta susu kesihatan bagi membantu meringankan beban yang ditanggung.
Menurut MAIM, pihaknya akan terus memperkukuh agenda kebajikan dan pembangunan ummah dengan memastikan setiap bantuan yang disalurkan mampu meningkatkan kesejahteraan hidup penerima serta memberi manfaat kepada keluarga asnaf secara menyeluruh.
Tambah kenyataan itu, kerjasama erat di antara MAIM, wakil rakyat serta agensi berkaitan akan terus diperkasakan bagi memastikan tiada golongan memerlukan yang tercicir daripada menerima perhatian dan bantuan sewajarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


