Proses pendaftaran PADU tidak akan ditangguhkan

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

PUTRAJAYA, 3 Jan – Proses pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) tidak akan ditangguhkan memandangkan beberapa isu teknikal yang dibangkitkan telah segera diselesaikan, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Jemaah Menteri tidak memutuskan sedemikian (tangguh PADU). Pada waktu ini kita dapati sistem itu berjalan lancar dengan isu yang dibangkitkan berjaya diselesaikan dalam jangka masa singkat.

“Pemantauan tentang aspek keselamatan terus dilakukan, jadi tidak timbul isu untuk menangguhkan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Fahmi mengulas gesaan bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dr Ong Kian Ming, agar kerajaan menangguhkan proses pendaftaran PADU sehingga beberapa kecacatan keselamatan diperbetulkan.

Fahmi berkata isu teknikal dan keselamatan khususnya data peribadi, sentiasa dititikberatkan oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli serta pasukan PADU dan Jemaah Menteri turut dimaklumkan tentang keselamatan siber yang menjadi keutamaan dalam sistem PADU itu.

Beliau berkata CyberSecurity Malaysia (CSM) telah terlibat sebelum PADU dilancarkan, bagi membantu Kementerian Ekonomi dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) untuk mengenal pasti kerentanan pada sistem tersebut, dan CSM akan terus mengadakan pertemuan bersama DOSM serta Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), bagi terus menambah baik sistem PADU.

“Saya menyarankan semua rakyat yang berhasrat untuk mendapatkan bantuan kerajaan untuk mengisi dan mendaftar dalam sistem PADU. Jangan risau dan gunakan (PADU) tanpa was-was kerana isu yang dibangkitkan sentiasa dipantau.

“Kerajaan pandang serius isu keselamatan data peribadi dan menjamin tidak berlaku apa-apa insiden yang tidak diingini,” katanya.

Sistem PADU yang dilancarkan semalam oleh Perdana Menteri, dibangunkan melalui kepakaran dalaman Kementerian Ekonomi, DOSM dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), dengan kerjasama serta sokongan pelbagai kementerian, agensi dan kerajaan negeri.

Fungsi utama PADU ialah membantu rakyat mengemas kini dan membolehkan kerajaan membuat penyasaran bantuan secara tepat, selain menghentikan ketirisan. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

945
Kongsi :
Previous post Tarikan bermalam di puncak berlatarbelakangkan Gunung Ledang
Next post Melaka bertemu generasi ke-11 Hang Tuah
Ubah saiz-+=