PRU15: Tiada parti dapat majoriti mudah kerusi Parlimen

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

PUTRAJAYA, 20 Nov – Tiada mana-mana parti memperoleh 50 peratus daripada 219 kerusi Parlimen yang dipertanding atau majoriti mudah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh.

Berdasarkan keputusan rasmi sehingga 4.30 pagi ini, Pakatan Harapan (PH) memenangi 76 kerusi manakala parti gabungannya DAP di Sarawak mendapat lima kerusi dan MUDA menang satu kerusi, menjadikan keseluruhan 82 kerusi Parlimen diperoleh gabungan itu.

Gabungan Perikatan Nasional (PN) dan PAS pula memperoleh 73 kerusi Parlimen selepas masing-masing menang 51 dan 22 kerusi.

Selain itu, Barisan Nasional (BN) memperoleh 30 kerusi diikuti Gabungan Parti Sarawak (22), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Parti Bangsa Malaysia (satu) dan calon Bebas (dua).

Abdul Ghani ketika sidang media berhubung keputusan PRU15 berkata tiga bahagian Parlimen tidak diumumkan iaitu Kota Marudu di Sabah dan Baram di Sarawak yang ditangguh berikutan masalah cuaca.

Pengundian bagi Parlimen Padang Serai di Kedah pula ditangguh ekoran kematian calon PH M.Karupaiya pada Rabu.

“Peratusan bagi pengundian Parlimen adalah 73.89 peratus tanpa mengambil kira tiga kerusi yang tidak diumumkan,” katanya.

Selain itu, Abdul Ghani berkata tiada mana-mana parti berjaya membentuk kerajaan negeri baharu di Pahang kerana tidak mendapat majoriti lebih 50 peratus di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU kali ini. 

Beliau berkata PN memenangi 17 kerusi diikuti BN (16) dan PH (lapan) daripada jumlah yang dipertanding iaitu 41. 

“Terdapat satu bahagian yang tidak dapat diumumkan pada hari ini iaitu N.42 Tioman berikutan kematian seorang calon (PN),” katanya. 

Abdul Ghani berkata situasi sama berlaku di Perak selepas PN memenangi 26 kerusi DUN diikuti PH dengan 24 kerusi dan BN (sembilan) daripada keseluruhan 59 yang dipertanding. 

Katanya jumlah rakyat yang keluar mengundi pada PRU15 bagi Pahang ialah 70.48 peratus manakala Perak sebanyak 66.71 peratus. 

— BERNAMA 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3873
Kongsi :
Previous post PRU15: Mahathir tewas di Langkawi
Next post Amaran hujan lebat, ribut petir di empat negeri – MetMalaysia
Ubah saiz-+=