Pulau Besar gamit kaki ‘camping’

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

TELOK MAS 31 Januari – Trasformasi dilaksana menjadikan Pulau Besar kini sebagai antara lokasi perkhemahan yang menjadi bualan dalam kalangan peminat aktiviti lasak atau kaki ‘camping’ seluruh negara.

Deruan ombak, pantai yang bersih dan dikelilingi alam semula jadi menghijau menjadikan suasana di Pulau Besar amat tenang, sekali gus menggamit kedatangan lebih ramai pengunjung serta pelancong.

Photo1706680428 (1)

BEREHAT sambil melayan kerenah si kecil. Foto MR AZLI

Selain itu keindahan batu karang yang dikatakan sebagai antara yang tercantik dunia dan pelbagai spesies ikan bermain di perairannya dianggap sebagai bonus kepada Pulau Besar.

Bagi pengunjung dari Johor, Hizawawi Samsir, 47, selepas kerja trasformasi dilaksanakan Pulau Besar bukan lagi sebuah destinasi yang dianggap ‘mati’ seperti sebelum ini.

“Saya bersama 20 ahli keluarga menghabiskan masa tiga hari berkhemah di Pulau Besar tetapi berasa tempoh itu tidak cukup. Mungkin sudah jatuh cinta dengan Pulau Besar, memang teruja dengan perubahan yang berlaku.

“Keputusan berkhemah di pulau ini amat tepat, banyak aktiviti boleh dilakukan bersama-sama, kami sekeluarga memang aktif dalam aktiviti ini dan sudah banyak tapak perkhemahan popular sudah kami lawati. Tetapi Pulau Besar kini menjadi pilihan utama.

“Tapak disediakan amat strategik, khemah dipasang menghadap laut memudahkan kami memantau anak-anak bermain air, cuaca juga amat bagus, persekitaran di sini selamat dan sesuai untuk semua peringkat usia,” katanya.

Photo1706680032
HIZAWAWI.

Hizawawi berkata, fasiliti seperti surau, tandas dan gerai menjual makanan yang mencukupi melengkapkan pakej Pulau Besar sebagai tapak perkhemahan pilihan di negara ini.

Menurutnya, pembangunan Pulau Besar yang teratur dan memberikan keselesaan kepada pengunjung boleh dijadikan sebagai rujukan oleh operator tapak perkhemahan di lokasi lain.

“Mahu ke Pulau Besar juga tidak ada masalah, operator bot sedia hantar pengunjung ikut kesesuaian masa  kami. Jarak dengan tanah besar juga tidak jauh, jadi kalau ada sebarang kecemasan tidak terlalu lama untuk dapatkan bantuan,” katanya.

Photo1706680211
HISHAM.

Sementara itu, abangnya Hisham Samsir, 50, turut menyuarakan pendapat sama kerana amat berpuas hati dapat menikmati suasana perkhemahan yang mendamaikan sepanjang kira-kira 72 jam di Pulau Besar.

“Sudah pasti kami akan kongsi saat indah di Pulau Besar bersama rakan-rakan lain. Tiba masa untuk pulang, tetapi kami akan datang semula ke Pulau Besar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2013
Kongsi :
Previous post Pasar terapung sudah 60 peratus siap
Next post Istana Negara keluar penggunaan nama rasmi Agong dan Raja Permaisuri
Ubah saiz-+=