Pusat penempatan pekerjaan akan ditubuhkan di setiap negeri
PUTRAJAYA, 4 Mac – Pusat Penempatan Pekerjaan (NPC) di bawah kendalian Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan ditubuhkan di setiap negeri secara berperingkat, kata Menterinya Datuk Seri M. Saravanan.
Menurutnya, penubuhan NPC itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa mesyuarat Majlis Pekerjaan Negara Bil. 1 2022 semalam bagi menyokong usaha kerajaan mewujudkan 600,000 peluang pekerjaan bagi rakyat Malaysia seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2022.
Saravanan berkata syarikat yang ingin menawarkan peluang pekerjaan boleh menggunakan pusat sehenti NPC itu untuk bertemu dengan pencari kerja, menyediakan program latihan kemahiran dan pembangunan kemahiran serta menawarkan penempatan pelatih atau latihan praktikal.
NPC juga menyediakan kemudahan berkaitan proses pengambilan pekerja untuk memudahkan majikan serta rakyat Malaysia, antaranya bertemu kaunselor kerjaya bagi mendapatkan penilaian kerjaya, maklumat lanjut untuk mencorak laluan kerjaya serta kursus pembangunan kemahiran yang boleh disertai.
Saravanan berkata individu yang melawat pusat itu juga boleh membuat pendaftaran di portal MYFutureJobs untuk mendapatkan akses yang lebih luas kepada peluang pekerjaan di seluruh negara.
“Menerusi portal ini, individu boleh mencari dan memohon pekerjaan yang sesuai dengan pengalaman, minat dan kelayakan mereka menerusi bimbingan wakil sokongan di pusat tersebut,” katanya.
Semalam, Ismail Sabri dilaporkan berkata kerajaan menambah baik dan memperkasa ekosistem pekerjaan melalui pewujudan NPC yang akan memantau kejayaan setiap permohonan pekerjaan. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.