Pusat rehat e-hailing pertama Malaysia dibuka di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

AYER KEROH 18 Mac – Pusat Rehat E-hailing pertama di Malaysia diwujudkan di negeri ini sebagai kemudahan untuk pemandu dan penunggang e-hailing beristirahat sepanjang menjalankan perkhidmatan menghantar barangan serta makanan.

Kewujudan pusat bertempat di Kompleks Melaka Mall sekali gus menjadikan ruang itu pusat istirahat yang pertama kepada golongan itu di negara ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, kerajaan negeri menerusi Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menjalin kerjasama dengan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyediakan pusat itu atas dasar keprihatinan kerajaan terhadap sumbangan besar pemandu dan penunggang dalam menjana ekonomi negeri.

Katanya, sebelum ini pendapatan golongan itu mampu mencecah sekurang-kurangnya RM4,000 hingga RM5,000 sebulan ketika COVID-19 melanda negara, namun berkurangan kepada RM2,000 hingga RM2,500 sebulan bergantung kepada kekerapan penghantaran yang dilakukan.

SULAIMAN (tengah) beramah mesra bersama penunggang e-hailing sambil diperhatikan Abdul Ghafaar (kiri) dan Shadan selepas merasmikan Pusat Rehat E-Hailing Kompleks Melaka Mall di sini hari ini.

“Berikutan itu, atas dasar keprihatinan kerajaan negeri, ruang rehat itu disediakan khas yang pertama untuk penunggang dan pemandu e-hailing di negeri ini.

“Tak ada lagi tempat lain yang buat, Melaka sahaja yang buat,” katanya ketika berucap sebelum merasmikan Pusat Rehat E-Hailing Kompleks Melaka Mall di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan dan Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Shadan Othman.

Mengulas lanjut, beliau berkata pusat rehat berkenaan perlu diperluaskan di semua kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini bagi menampung lebih 2,000 pemandu dan penunggang e-hailing di negeri ini.

“Tempat istirahat untuk pemandu atau penunggang e-hailing boleh diperluaskan mungkin di Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) atau Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) untuk kita sama-sama membantu golongan itu,” katanya.

Dalam pada itu, Shadan berkata, pusat rehat itu mampu menampung 20 orang pada satu masa dan mereka dibenarkan berlegar-legar di ruang kompleks bangunan MPHTJ.

“Bagaimanapun, mereka hanya dibenarkan berada di kawasan rehat itu mengikut waktu operasi Kompleks Melaka Mall iaitu bermula pada jam 8 pagi hingga 10 malam.

“Pihak YADIM membantu kita dari segi menyediakan kelengkapan ibadah seperti sejadah dan pelekat doa untuk memudahkan perjalanan pemandu dan penunggang e-hailing berkenaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1444
Kongsi :
Previous post RM21 juta pembiayaan AGRO-YES untuk anak muda
Next post Lebih banyak syarikat, pelabur ingin tingkatkan pelaburan di Melaka-Sulaiman
Ubah saiz-+=