Lebih banyak syarikat, pelabur ingin tingkatkan pelaburan di Melaka-Sulaiman

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

AYER KEROH: Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali hari ini mengadakan perjumpaan dengan Ketua Pegawai Operasi (COO) Leuze Electronic dari Jerman, Jochen Wimmer di pejabatnya di Seri Negeri, di sini.

Menerusi pertemuan itu, beliau diberikan penerangan berhubung perkembangan operasi syarikat elektronik itu di Melaka melalui pembukaan kilang pengeluaran sensor optik yang juga pertama di Asia Tenggara.

Berkongsi berita itu menerusi hantaran di Facebook rasminya, Sulaiman menegaskan pembukaan operasi Leuze Electronic membuktikan keyakinan pelabur asing untuk melabur di negeri ini

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama, Sulaiman Md Ali ketika perjumpaan dengan Ketua Pegawai Operasi (COO) Leuze Electronic, Jochen Wimmer di Pejabat Ketua Menteri, Seri Negeri, Ayer Keroh.

“Melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), saya percaya akan lebih banyak syarikat serta pelabur berpotensi yang mahu meningkatkan jumlah pelaburan di Negeri Melaka,” katanya yang turut berkongsi beberapa gambar perjumpaan itu.

Yang turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Datuk Zainal Abu dan Pengurus Besar Invest Melaka, Ramli Mohd Ali.

Sebelum ini, Melaka Hari Ini melaporkan syarikat elektronik terkemuka dunia berpangkalan di Owen, Jerman itu memperluaskan operasinya bagi memenuhi permintaan pasaran Asia dengan membina kilang baharu di Melaka.

Kilang berkenaan yang kini dalam pembinaan dijangka siap pada suku pertama 2022 dan beroperasi sebagai Leuze electronic assembly Malaysia Sdn. Bhd iaitu anak syarikat milik penuh Leuze electronic GmbH + Co. KG.

Selain itu Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud dalam satu kenyataan dilapor berkata keputusan syarikat itu untuk berpindah ke Malaysia bagi pengembangan perniagaannya menyatakan bahawa ia amat yakin dengan negara ini.

MIDA memulakan hubungan pertama dengan Leuze pada Disember 2018 dan sejak itu ia terbabit dengan pasukan syarikat untuk memudahkan peruntukan projek berkenaan, terutamanya dalam mendapatkan kelulusan lesen yang diperlukan.

Pengarah Operasi Projek Global dan Pengurus Projek Leuze, Sebastian Raible pula dilapor berkata, Melaka dipilih sebagai tapak pengeluaran baharu memandangkan ia mempunyai aliran tenaga kerja yang cemerlang di rantau ini dengan universiti yang mantap serta industri elektronik yang berkembang maju.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

887
Kongsi :
Previous post Pusat rehat e-hailing pertama Malaysia dibuka di Melaka
Next post Tanam semula pokok Batai Laut
Ubah saiz-+=