Pusat rekreasi terkemuka ikonik diwujudkan – Sulaiman

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

SERI NEGERI 29 Mac – Pelaksanaan Rancangan Kawasan Khas (RKK) Zon Pelancongan Ayer Keroh bakal mewujudkan sebuah pusat rekreasi terkemuka yang ikonik di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, pembinaan kawasan pelancongan itu menerapkan elemen botani, ekologi dan rekreasi keluarga.

“Terdapat 42 cadangan pembangunan dimasukkan dan dipecahkan kepada tiga kategori iaitu sembilan projek berimpak tinggi, 14 projek utama dan 19 projek sokongan.

“Antaranya cadangan menaik taraf Dataran Sejarah dan cadangan menaik taraf Pintu Masuk Taman Botanikal, cadangan pencahayaan sekitar Ayer Keroh.

“Selain cadangan menaik taraf Zoo Melaka, cadangan Hang Tuah Jaya Eco Bridge, cadangan menaik taraf Pintu Gerbang Melaka dan lain-lain lagi,” katanya.

SULAIMAN menandatangani buku RKK Zon Pelancongan Ayer Keroh sebagai gimik pelancaran ‘soft launch’ tersebut.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi ‘Soft Launch’ Rancangan Kawasan Khas (RKK) Zon Pelancongan Ayer Keroh di Seri Negeri di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Hasim Hasan; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman.

Jelasnya, sesi ‘Soft Launch’ itu untuk memaklumkan kepada masyarakat Negeri Melaka khususnya berkenaan proses pameran dan publisiti yang berlangsung selama empat minggu bermula 27 Mac 2021 hingga 25 April depan.

Pameran dan publisiti ini melibatkan tiga lokasi iaitu di Zoo Melaka, Wisma Negeri dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).

“RKK Zon Pelancongan Ayer Keroh terletak dalam Zon Pelancongan Utama Ayer Keroh seluas 190.62 hektar meliputi Zoo Melaka, Taman Botanikal, Dataran Sejarah, Tasik Ayer Keroh, Taman Mini Malaysia & Mini ASEAN, Taman Buaya dan Wonderland Park,” katanya.

Untuk rekod RKK Zon Pelancongan Ayer Keroh merupakan dokumen pemajuan yang disediakan bagi pelaksanaan segera dan dikategorikan sebagai RKK bagi kawasan berkeperluan khusus.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

930
Kongsi :
Previous post Bandar Melaka, Cheng terjejas akibat banjir kilat
Next post RKK Zon Pelancongan Ayer Keroh: 50 peratus pembangunan hampir siap – Shadan
Ubah saiz-+=