Pusat tahfiz anak mualaf bakal jadi tarikan

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

ALOR GAJAH 17 Oktober – Sebuah pusat tahfiz kanak-kanak mualaf pertama di Malaysia yang bakal beroperasi di Kampung Pegoh di Melaka, dijangka menjadi tumpuan pelancong kerana turut menempatkan kompleks yang mempunyai keunikan tiga budaya utama di negara ini.

Premis yang kini dalam pembinaan di atas tanah berkeluasan 0.8 hektar itu, mampu menempatkan kira-kira 300 pelajar dan dijangka akan beroperasi pada awal 2026.

Pengerusi Pertubuhan Akademi Al Bayan, Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan berkata, pembinaan kompleks itu bertujuan melahirkan pendakwah mualaf bertaraf antarabangsa.

Beliau berkata, selain menyasarkan anak mualaf, Kompleks Al Bayan juga akan menempatkan anak yatim dan asnaf yang bersedia serta berminat menjadi seorang pendakwah.

“Matlamat kita adalah untuk lahirkan pendakwah bukan sahaja di Malaysia (menyampaikan ilmu dakwah) tetapi juga dihantar ke luar negara. Untuk itu kita kini sedang bangunkan silibus bukan sahaja di peringkat Malaysia bahkan antarabangsa supaya sijil ini akan diiktiraf.

“Pembinaan ini juga atas pengalaman saya sendiri sebagai anak mualaf, semasa sedang membesar yang mana suatu ketika dahulu saya berdepan sedikit kesukaran yang perlu ditampung,” katanya selepas menerima kunjungan Ahli Parlimen Alor Gajah, Adly Zahari ke tapak pembinaan akademi itu.

Menurutnya, kompleks yang dianggarkan menelan belanja kira-kira RM25 juta itu akan turut menempatkan sebuah kompleks dengan dewan utamanya mempunyai gabungan tiga budaya.

“Kita akan membina sebuah kompleks dan dewan solat utamanya itu bakal menjadi tarikan kepada kepelbagaian bangsa kerana terdapat gabungan tiga budaya utama di Malaysia.

“Bagi projek pembangunan ia dianggarkan bernilai RM16 juta dan apabila masuk fasa kedua untuk pembangunan infrastruktur dan fasiliti secara keseluruhan kita anggarkan membabitkan kos RM25 juta.

“Malah kita turut mendapat kebenaran dari Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) untuk menjalankan kutipan derma. Pembinaan kompleks ini adalah dana sumbangan daripada orang ramai malah penyumbang kita bukan sahaja penduduk tempatan malah luar negara juga,” katanya.

Nur Mohammad Hadi berkata, meskipun kos pembinaan kompleks itu masih belum cukup sepenuhnya namun pihaknya percaya dalam tempoh dua tahun ini ia akan mencupi susulan komitmen daripada banyak pihak.

“Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan 2026 adalah Tahun Melawat Malaysia jadi kita ada dua tahun (untuk siapkan) dan Insya-Allah Kompleks Al Bayan akan menjadi antara penyumbang untuk dilawati.

“Ia sekaligus akan memberi impak bukan sahaja dalam melahirkan pendakwah bertaraf antarabangsa tetapi juga meningkatkan ekonomi penduduk setempat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

909
Kongsi :
Previous post Tengkorak, serpihan tulang ditemui berhampiran pantai tambakan laut
Next post Melaka anjur Karnival TVET, 25-26 November depan
Ubah saiz-+=