Qari cilik Melaka, harumkan nama Malaysia

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 27 Disember – Baru berusia 10 tahun, namun Ahmad Azfar Azraie, sudah membanggakan nama Negeri Melaka dan mengharumkan nama Malaysia selepas diumumkan johan Musabaqah Mazamir Dawud Peringkat Antarabangsa, berlangsung di Algeria, 20 Disember lalu.

Minat mendalam dan rasa cinta kepada kalam Allah mendorong murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Beruang itu melakukan yang terbaik meskipun terpaksa berdepan saingan 18 peserta dunia termasuk dari Indonesia.

WhatsApp Image 2022-12-26 at 4.43.22 PM (1)
AHMAD Azfar bersama bapanya Azraie Abdul Hak selepas diumumkan johan musabaqah

Bapanya Azraie Abdul Hak, 42, berkata, ini kali kedua anak kelima daripada tujuh beradik itu menyertai pertandingan peringkat antarabangsa, selepas Qatar pada Mac lalu.

“Pertandingan dilaksanakan secara dalam talian dan Ahmad Azfar sekadar mendapat tempat kedua, namun saya tetap bersyukur kerana anak mampu menempatkan diri dalam kelompok teratas serta terbaik.

“Sudah pasti ini kejayaan terbesar buat Ahmad Azfar dan keluarga kami. Meskipun sudah bergelar johan namun saya tidak mahu dia berhenti di sini, banyak lagi bacaan yang perlu diperbaiki, sekali gus mengekalkan momentumnya,” katanya.

Menurutnya, meskipun dia dan isteri Sarrul Munirah Haris, 39, bersama anak-anak yang lain aktif menyertai musabaqah namun kejayaan dicipta Ahmad Azfar amat bermakna buat mereka sekeluarga.

“Saya dan isteri sebelum ini tidak pernah memaksa, mungkin kerana selalu mengikut kakak dan abangnya, timbul minat. Kami menyedari minat anak terhadap al-Quran ketika dia berusia empat tahun lagi.

“Jadi saya manfaatkan ilmu ada pada diri untuk bimbing dan melatih anak agar mutu bacaannya terbaik. Sebagai bapa sudah pasti saya akan terus bimbing Ahmad Azfar dan menyokong minatnya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2972
Kongsi :
Previous post Air pasang besar: 38 lagi rumah roboh di Kampung Forest
Next post Pasang tangki atasi masalah tekanan air rendah
Ubah saiz-+=