DUN Taboh Naning: : Pasang tangki atasi masalah tekanan air rendah

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

TABOH NANING 27 Disember – Sebanyak 44 kediaman di Kampung Baru Taboh Naning Jaya, di sini, dipasang tangki air bagi mengatasi isu tekanan air rendah yang berlarutan di kawasan berkenaan itu sejak hampir 10 tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning, Zulkiflee Mohd Zin berkata, pemasangan tangki berkenaan dijalankan kakitangan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) sejak minggu lalu.

Zulkiflee berkata, masalah itu dipercayai berpunca daripada lokasi penempatan berkenaan yang berada di kawasan berbukit dan tinggi.

“Tangki air ini dipasang di 44 kediaman dikenal pasti mengalami masalah tekanan rendah. Usaha ini adalah antara penyelesaian jangka pendek diusahakan SAMB.

“Diharapkan masalah penduduk dapat diselesaikan selepas Projek pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di Sungai Jerneh siap.,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Meskipun berpuas hati dengan kerjasama diberikan SAMB, Zulkiflee tetap berharap syarikat itu mengambil usaha berterusan dalam memastikan penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning menikmati perkhidmatan yang lebih berkualiti.

Antara yang disuarakan Zulkiflee adalah penggantian paip saliran bersaiz lebih besar agar tekanan air yang diterima mencukupi buat penduduk di kawasan berkenaan.

“Kita harap selepas ini SAMB perlu tukar saiz paip saliran kepada saiz berdiameter tinggi kerana isu tekanan air di Taboh Naning sudah lama berlaku dan mesti ada jalan penyelasaian terbaik buat anak jati di kawasan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2076
Kongsi :
Previous post Qari cilik Melaka, harumkan nama Malaysia
Next post Veteran, anggota ATM terjejas banjir akan terima bantuan
Ubah saiz-+=