Veteran, anggota ATM terjejas banjir akan terima bantuan

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

MACHAP JAYA 27 Disember – Kementerian Pertahanan sedang mengumpulkan maklumat lengkap mengenai anggota atau veteran tentera yang terjejas akibat banjir di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, pihaknya menerusi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta beberapa badan kebajikan tentera, termasuk Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) sedang mengumpulkan data lengkap mangsa banjir dalam kalangan anggota serta pesara tentera, sebelum bantuan segera disalurkan kepada mereka.

“Kita sentiasa memberi keutamaan kepada anggota mahupun veteran yang terjejas akibat bencana.

“Setakat ini kita beri bantuan secara menyeluruh, setiap minggu kita akan adakan mesyuarat di pengerusikan Menteri Pertahanan, di mana daripada situ kita akan mengumpul maklumat dan data anggota-anggota yang turut terjejas dengan bencana banjir.

“Kita akan melihat atau kumpul data menerusi persatuan, perbadanan kita (Kementerian Pertahanan) termasuk penama sendiri.

“Kita memang akan menggerakkan bantuan-bantuan supaya fokus kita kepada veteran dan anggota tentera itu sentiasa diberi keutamaan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata demikian dalam sidang media ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Festival Tanglung Tahun Baharu Cina di Machap Umboo, Alor Gajah, malam tadi.

Hadir sama, Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya; Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dan kenamaan lain.

Tambah Adly, bantuan yang akan diberikan, selain wang tunai, kementerian berkenaan juga akan mempertimbangkan bantuan lain termasuk barangan keperluan harian seperti makanan dan peralatan eletrik.

Katanya, kementerian memberi jaminan kebajikan terhadap semua mangsa banjir dalam kalangan anggota dan veteran tentera akan diambil perhatian, bagi meringankan beban yang ditanggung akibat bencana alam terbabit.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2008
Kongsi :
Previous post Pasang tangki atasi masalah tekanan air rendah
Next post Kak Som mahu perkasa wanita, kaum ibu Pengkalan Batu
Ubah saiz-+=