Rakyat Melaka mula mengundi hari ini

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

MELAKA 20 Nov – Selepas melalui tempoh berkempen selama 12 hari, akhirnya tibalah masanya untuk hampir setengah juta rakyat Melaka keluar mengundi bagi memilih kerajaan negeri baharu.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka penggal ke-15 kali ini menyaksikan seramai 112 calon bertanding bagi merebut 28 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Bermula jam 8 pagi ini, kesemua 217 pusat mengundi membabitkan 1,109 saluran dibuka kepada rakyat untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Buat pertama kalinya dalam sejarah, pengundi di Melaka terpaksa mengundi dalam suasana norma baharu.

Antara prosedur operasi standard (SOP) baharu yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi PRN Melaka ialah mewajibkan pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal sewaktu mengundi.

Selain itu, setiap pengundi juga disaran mematuhi cadangan masa yang ditetapkan SPR menerusi MySPR Semak.

Manakala bagi pengundi bergejala pula, SPR telah menyediakan khemah khas untuk mengundi yang dipantau petugas kesihatan.

Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati suasana mengundi pada pagi ini berjalan lancar dengan rata-rata pengundi mematuhi SOP yang ditetapkan.

Meskipun keadaan cuaca agak mendung dan hujan renyai di beberapa kawasan, namun ia tidak menghalang proses pengundian yang berlaku pada sebelah pagi ini.

Namun, difahamkan pada sebelah petang, ribut petir akan berlaku di beberapa kawasan di negeri ini mengikut ramalan cuaca MetMalaysia.

Apapun, diharap proses pengundian sempena PRN Melaka akan berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Nantikan perkembangan dari semasa ke semasa di Melaka Hari Ini untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Keputusan rasmi PRN Melaka dijangka akan diketahui sekitar jam 10 malam ini, menurut SPR.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

546
Kongsi :
Previous post Saya sedia segala kemungkinan – Sulaiman
Next post Mas Ermieyati selesai buang undi 8.10 pagi tadi
Ubah saiz-+=