Tengku Zafrul

Rakyat, perniagaan dan ekonomi jadi fokus utama 2022 – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 4 Dis – Tiga perkara penting iaitu rakyat, perniagaan dan juga ekonomi perlu diberikan fokus utama pada tahun 2022 bagi menjamin kesejahteraan negara, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata dengan kadar vaksinasi yang tinggi, beliau berharap ia dapat membantu ekonomi Malaysia untuk terus bergerak ke hadapan dan tidak lagi terkesan dengan pandemik COVID-19 seperti sebelum ini.

“Sekarang ada varian baharu tetapi masih tidak diketahui secara detail (terperinci). Jadi harapannya adalah ekonomi negara dapat capai sasaran antara 5.5 peratus hingga 6.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia: Temubual bersama Menteri Kewangan sempena aspirasi Keluarga Malaysia 100 hari terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM), hari ini.

Dalam masa sama, Tengku Zafrul juga berharap semua perniagaan, terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bangkit semula untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Menurutnya, dari segi kesejahteraan rakyat, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM4.8 billion untuk menjana 600,000 peluang pekerjaan dalam Bajet 2022 yang diumumkan baru-baru ini.

Jelasnya, peruntukan itu adalah bagi mengurangkan kadar pengangguran yang memuncak sejak Mei tahun lepas iaitu pada kadar 5.3 peratus, dengan menyasarkan ia berada di bawah empat peratus pada 2022.

“Saya rasa sasaran penjanaan 600,000 pekerjaan adalah realistik kerana setakat 30 Nov 2021, kerajaan telah berjaya mewujudkan hampir 497,000 peluang pekerjaan, iaitu 99.3 peratus daripada sasaran 500,000 tahun ini

“Untuk tahun depan, kita ada sediakan program Jamin Kerja Keluarga Malaysia, dan antara inisiatif di bawah program ini adalah Malaysia Short-term Employment Programme atau MySTEP yang menawarkan lebih kurang 80,000 pekerjaan dalam sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya.

Tengku Zafrul berkata dalam memastikan sasaran tersebut tercapai, kerajaan turut menyediakan latihan dan peningkatan kemahiran dengan menyasarkan 220,000 peluang pekerjaan, serta inisiatif insentif penggajian dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang akan memberi manfaat kepada 300,000 pencari kerja.

Menurutnya, kerajaan juga memberikan respons kepada keluhan daripada PMKS dengan memperuntukkan sejumlah RM14.2 bilion kepada sektor tersebut dalam Bajet 2022 dengan strategi untuk membina kembali keupayaan dan menyokong pemulihan mereka.

Antara inisiatif yang telah diumumkan adalah pembiayaan mikro kredit berjumlah RM1.8 bilion melalui pelbagai agensi pelaksana seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Urus Niaga (TEKUN), Agrobank, Bank Simpanan Nasional (BSN), Bank Rakyat dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Sementara itu, bagi tempoh 100 hari kementerian tersebut menjalankan tugas, Tengku Zafrul berkata kerajaan telah memberi talian hayat kepada 11 juta rakyat Malaysia melalui pemberian Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Khas COVID-19 (BKC) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) yang berjumlah RM8.8 bilion setakat November 2021.

Selain itu, Program Subsidi Upah (PSU) juga telah memberi manfaat kepada 1.9 juta pekerja serta sejuta PMKS telah dibantu melalui Geran Khas Prihatin (GKP), katanya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

69
SESAK; KENDERAAN; COVID-19; BANDAR MELAKA; BANDAR HILIR Previous post Rancakkan kembali pelancongan Melaka – TYT
ismail sabri7 Next post Malaysia jana lebih RM33.9b potensi pulangan di Expo 2020 Dubai