Rancakkan kembali pelancongan Melaka – TYT

Masa Membaca:58 Saat

SERI NEGERI 4 Dis – Sektor pelancongan yang terjejas akibat pandemik COVID-19 sebelum ini perlu dirancakkan kembali dengan kerjasama pelbagai pihak.

Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam berkata, selaras dengan kebenaran rentas negeri dan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura, pelbagai usaha dan inisiatif perlu dijalankan dalam usaha menarik kehadiran pelancong ke Melaka.

“Agensi kerajaan negeri hendaklah menjalinkan kerjasama dengan rakan strategik sektor pelancongan untuk bersama-sama memajukan semula sektor pelancongan negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Melaka Sempena Sambutan Hari Jadi Ke-72 di Balai Istiadat Seri Negeri, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Ali turut menggesa kerajaan negeri prihatin terhadap isu-isu dihadapi rakyat, termasuklah mengenai isu banjir kilat yang sering berlaku.

Beliau meminta semua projek yang telah diluluskan kerajaan persekutuan untuk menangani isu banjir dapat dilaksanakan secepat mungkin.

“Kerajaan negeri juga digesa membantu memudahkan rakyat Melaka mendapat bantuan-bantuan yang telah diperuntukkan kerajaan persekutuan akibat kesan pandemik COVID-19.

“Selain itu, harapan saya agar pelbagai inisiatif untuk membantu rakyat turut disediakan dalam pembentangan Bajet 2022 Negeri Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

547
Kongsi :
Previous post Acryl Sani, Zamrose dahului penerima pingat darjah kebesaran Melaka
Next post Rakyat, perniagaan dan ekonomi jadi fokus utama 2022 – Tengku Zafrul
Ubah saiz-+=