Acryl Sani, Zamrose dahului penerima pingat darjah kebesaran Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

AYER KEROH 4 Dis – Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani dan Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Datuk Seri Zamrose Mohd Zain mendahului antara 235 penerima Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi ke-72 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam, pada sesi pertama, hari ini.

Kedua tokoh itu dianugerahkan Darjah Gemilang Seri Melaka (D.G.S.M.) sekali gus membawa gelaran Datuk Seri.

Dalam istiadat diadakan pagi tadi, isteri Ketua Menteri, Datin Seri Utama Datuk Wira Munira M Yusop turut mendahului senarai tujuh penerima bagi Darjah Cemerlang Seri Melaka (D.C.S.M) yang akan membawa gelaran Datuk Wira.

DATIN Seri Utama Datuk Wira Munira M Yusop yang juga isteri Ketua Menteri menerima Darjah Cemerlang Seri Melaka (D.C.S.M) daripada Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam. Foto: Mr Azli

Turut menerima darjah sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Dr Noor Zari Hamat; lagenda bola sepak negara, Datuk Soh Chin Aun serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Abd Rahman.

Manakala, Darjah Seri Mahkota Melaka (D.M.S.M.) yang membawa gelaran Datuk pula dianugerahkan kepada Hakim Mahkamah Tinggi Melaka Datuk Anselm Charles Fernandis dalam sesi pertama diadakan hari ini.

Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M) pula dianugerahkan kepada 30 penerima, antaranya Penasihat Undang-Undang Melaka Datuk Abd Aziz Engan dan Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) Datuk Mustafa Musa.

Kerajaan negeri turut menganugerahkan Bintang Cemerlang Melaka kepada pemain badminton negara yang juga anak kelahiran Melaka, Aaron Chia Teng Fong yang telah mengharumkan nama di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Anugerah sama juga turut diberikan kepada Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Cuthbert John Martin Quadra dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bioteknologi Melaka Tee Mei Ghee.

Untuk rekod, gelaran bagi Anugerah Darjah Kebesaran Negeri Melaka sudah boleh digunakan oleh penerima pada 24 Ogos lalu.

Istiadat yang sepatutnya diadakan pada tarikh itu terpaksa ditangguhkan susulan penularan jangkitan COVID-19 masih tinggi dalam negara dan negeri ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1464
Kongsi :
Previous post Tidak boleh reaktif, tetapi perlu proaktif dan inovatif selesai isu rakyat – KM
Next post Rancakkan kembali pelancongan Melaka – TYT
Ubah saiz-+=