Rakyat terjemahkan sokongan terhadap Muafakat Nasional

AYER KEROH, 31 Ogos – “Minda rakyat sudah tidak boleh dirosakkan dengan isu- isu yang telah lapuk”, itu kata Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Mengulas lanjut mengenai kemenangan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim, beliau berkata, keputusan PRK itu telah memperlihatkan satu lagi menifestasi rakyat dalam menterjemahkan sokongan terhadap parti Muafakat Nasional.

“Ia telah menunjukkan bahawa rakyat bersepakat dan memberikan sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) dan Muafakat Nasional yang turut memberikan isyarat kepada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Oleh itu rakyat menterjemahkan dengan keputusan yang terbaik di PRK Slim dengan peningkatan jumlah undi sekaligus telah memberikan satu sudut tambah nilai terbaik ,” katanya.

Mengulas mengenai pembahagian kerusi sebagai persediaan menghadapi PRU akan datang, Ab Rauf berkata, pihaknya masih menunggu keputusan pihak tertinggi dalam pembahagin kerusi kerana ia membabitkan seluruh struktur kedudukan kerusi seluruh negara.

“Ini memandangkan Melaka adalah sebuah negeri yang dilihat berpotensi untuk menang dengan taburan kedudukan yang sedia ada yang mana dulu Pas tidak memenangi kerusi dalam PRU lepas.

“Tetapi atas sifat setia kawan kita akan mempertimbangkan kawasan yang boleh kita jangkakan untuk PAS memenangi kawasan tersebut jadi pembahagian kerusi ini belum lagi kita putuskan sehingga pucuk pimpinan memberikan satu lakaran baharu,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan dikeluarkan Ketua Pembangkang Adly Zahari yang yakin dapat menawan kembali Melaka, beliau berkata, sebagai ahli politik sesiapa sahaja berkeyakinan mengambil alih kerajaan negeri berdasarkan kepada persepsi yang ada pada parti masing-masing.

“Walaubagaimanapun, saya yang mengetuai BN di Melaka tidak mengambil ringan apa jua kenyataan yang dikeluarkan pihak lawan dan memastikan pihak kita bekerja lebih keras lagi untuk menghadapi PRU akan datang.

“Walaupun dalam senario politik semasa kita tidak merendahkan kelebihan dan kebolehan parti lawan serta menghormati cita-cita mereka tetapi kita juga menanamkan azam untuk bergerak lebih terancang dan mendapat seberapa ramai rakyat,” katanya.

Views:

4

Share and Enjoy !

Shares
Previous post Perigi Lawa tidak seperti 20 tahun lalu
Next post COVID-19: Satu kematian, enam kes baharu dicatat hari ini