Perigi Lawa tidak seperti 20 tahun lalu
TANJUNG BIDARA 31 Ogos – Sunyi dan sepi serta tidak sehebat 20 tahun lalu.
Itulah yang berlaku pada pantai peranginan Tanjung Bidara yang lebih popular dengan panggilan Perigi Lawa, di sini yang tidak semeriah berbanding 20 tahun lalu berikutan kemajuan industri pelancongan di pantai lain.
Berbeza dengan keadaan pantai yang sesak dengan pengunjung, termasuk pelancong asing yang biasa dilihat kira-kira 20 tahun lalu, pantai berkenaan sekarang sepi dan muram akibat kekurangan pengunjung, apatah lagi pelancong asing.
Suraya Mohd Ali, 56, berkata beliau terkejut apabila mendapati Pantai Perigi Lawa sepi dan amat jauh bezanya dengan keadaan ketika beliau pertama kali mengunjunginya 20 tahun lalu.
“Saya tidak sangka keadaan di pantai yang indah ini sepi tanpa orang ramai pada hari cuti umum seperti hari ini.
“Semasa saya berkelah di sini 20 tahun lalu, agak sukar mencari tempat untuk membentang tikar untuk keluarga bersantai dan mandi manda kerana pengunjung terlalu ramai,” katanya ketika ditemui di pantai itu hari ini.
Suraya tiba dari Ipoh, Perak semalam kerana menghadiri majlis perkahwinan anak rakannya di Alor Gajah dan mengambil kesempatan mengunjung pantai Perigi Lawa hari ini sebelum pulang petang ini.
Mohd Kamil Jaafar, 43, dari Kuantan, Pahang berkata, semasa zaman remajanya, beliau pernah mengunjungi pantai itu untuk berkelah bersama rakan dan kali ini hadir bersama tiga anggota keluarganya tetapi agak terkilan apabila mendapati pantai berkenaan sepi.
“Saya difahamkan sekarang ada pantai peranginan lain seperti Pantai Puteri di Tanjung Kling dan Pantai Pengkalan Balak yang sudah dimajukan sebagai kawasan pelancongan yang menyebabkan Pantai Perigi Lawa sepi,” katanya.
Sementara itu, Penyelaras Pasar Malam Tanjung Bidara, Nazlan Md Nazri, 56, berkata antara usaha memajukan semula industri pelancongan di Perigi Lawa ialah dengan memindahkan Pasar Malam Jalan Tanjung Bidara-Solok Duku ke parkir kenderaan di Perigi Lawa mulai 17 Ogos lalu.
Selain bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas di jalan itu, pemindahan berkenaan turut bertujuan mengembalikan kegemilangan Perigi Lawa sebagai destinasi pelancongan popular di negeri ini.
Katanya, kira-kira 30 peniaga di pasar malam yang sebelum ini berniaga di Jalan Tanjung Bidara-Solok Duku memulakan perniagaan di kawasan parkir berkenaan selepas notis perpindahan dikeluarkan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) kira-kira dua bulan lalu.
“MPAG meminta Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Tanjung Bidara mencari tapak yang sesuai dan kami mencadangkan supaya memilih tapak di parkir kenderaan di pusat peranginan Perigi Lawa,” katanya.