Rancang ingin bernikah alasan bermalam

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

BANDARAYA MELAKA 31 Ogos – Mereka merancang bernikah hujung tahun ini tetapi bermalam di sebuah bilik hotel di bandar raya ini kononnya untuk berbincang mengenai majlis perkahwinan.

Perbincangan mengenai detik bahagia diijab kabul sebagai pasangan suami isteri yang sah itu diadakan di dalam bilik hotel tanpa dihadiri orang lain.

Ia cuma alasan sepasang kekasih, kedua-dua mereka berusia 22 tahun ketika diperiksa sebelum ditahan dalam

Operasi Cegah Kesalahan Syariah Sempena Ambang Merdeka 2020 di Ujong Pasir dan Bandar Hilir, di sini serta Tanjung Bidara, Alor Gajah antara jam 12.15 malam hingga 4 pagi tadi.

Pegawai Penguatkuasa Agama, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Akmal Nazim Abdullah
berkata, ketika pintu bilik hotel mereka diketuk, pegawai JAIM terpaksa menunggu agak lama sebelum pintu dibuka remaja lelaki yang berpakaian lengkap.

Pemeriksaan dalam bilik hotel di Bandar Hilir itu mendapati ada seorang remaja perempuan berusia 22 tahun duduk di atas katil juga dalam keadaan berpakaian lengkap, katanya.

“Remaja lelaki itu berasal dari negeri ini tetapi bekerja di Kuala Lumpur manakala pasangannya berasal dari Bestari Jaya, Selangor dan mengusahakan perniagaan atas talian juga di kota raya berkenaan.

“Mereka mendakwa sudah menghadiri kursus perkahwinan dan merancang bernikah serta mengadakan majlis walimatul urus hujung tahun ini,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati mereka datang ke bandar raya ini pagi semalam untuk menyambut sambutan ulang tahun kemerdekaan malam tadi tetapi bermalam di hotel berkenaan dengan alasan untuk berbincang hal berkenaan.

Katanya, selain pasangan terbabit, turut ditahan ialah empat lelaki dan pasangan mereka yang berusia antara 20 hingga 54 tahun.

Antara alasan mereka ialah keletihan selepas menyambut ulang tahun kemerdekaan negara di bandaraya ini.

“Oleh sebab terlalu penat berjalan ketika mengikuti program sambutan kemerdekaan, mereka tidak sempat pulang ke rumah dan terpaksa bermalam di hotel di bandar raya ini,” katanya.

Beliau berkata, mereka dibawa ke pejabat Bahagian Penguatkuasaan JAIM untuk siasatan lanjut dan proses jaminan.

Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 53, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana melakukan kesalahan bersekediaman atau berkurung atau berkhalwat yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Views:

665
Kongsi :
Previous post Cari titik persamaan tangani sebarang isu
Next post Perigi Lawa tidak seperti 20 tahun lalu
Ubah saiz-+=