Realisasi jadikan Malaysia negara pengeluar tenusu

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

MERLIMAU 29 Dis. – Kerja-kerja menaik taraf bangunan Pusat Perkhidmatan Industri Tenusu (PPIT) dilihat sebagai antara usaha kerajaan merealisasikan hasrat menjadi negara pengeluar tenusu menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Dr. Suratan Kamarudin berkata, PPIT merupakan antara inisiatif program pengeluar susu dan kerajaan menyasarkan pengeluaran susu 100 peratus berbanding rekod semasa iaitu 67 peratus.

Ujarnya, dengan terlaksananya inisiatif naik taraf bangunan PPIT, ia akan melancarkan urusan piawaian pengeluar susu yang ditetapkan, sekali gus dapat menghasilkan pengeluar tenusu berkualiti di negara ini.

“Kita harap dengan naik taraf PPIT ini mampu menerima pengiktirafan Amalan Perkilangan Baik (GMP) dan Amalan Kebersihan Veterinar yang Baik (GVHP) dengan pensijilan yang menekankan kualiti tenusu yang bukan saja pada penghasilan produk, cara operasi dan pusat pengumpulan.

“Dengan PPIT yang memenuhi piawaian ini ia mampu meningkatkan kecekapan dengan penerimaan bagi ujian tenusu, penempatan dan penghantaran tenusu ke kilang-kilang pemprosesan.

“Malah ,kita turut menyediakan bahagian premis bagi pemprosesan pengeluaran produk susu yang mungkin boleh digunakan oleh pihak swasta,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Menaiktaraf Pusat Perkhidmatan Industri Tenusu (PPIT) Serta Kerja-kerja Berkaitan di PPIT Merlimau, di sini, semalam.

Pada program terbabit, upacara menandatangani sijil serahan telah dilaksanakan antara Dr. Suratan yang mewakili Jabatan Perkhidmatan Verinar dengan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka, Datuk Ir. Ismail Ab. Rahman dan disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Kemudahan Awam, dan Infrastruktur, Datuk Roslan Ahmad.

Sementara itu, Ismail berkata, projek menaik taraf PPIT yang dikelolakan JKR itu telah disiapkan empat bulan lebih awal dari tarikh jangkaan yang disiapkan dengan menelan peruntukan kos sebanyak RM1.408 juta.

Ujarnya, projek berkenaan telah dibangunkan pada Mac tahun lalu termasuk pembinaan bangunan baharu dan menaik taraf bangunan sedia ada dan telah disiapkan pada November lalu berbanding sasarannya pada Mac depan.

“JKR Melaka telah menyerahkan projek ini secara ’11 dalam 1′ di mana antaranya ia telah disiapkan lebih awal, penjimatan kos projek kira-kira RM12,000, penyerahan projek dengan sifar kemalangan serta pelbagai lagi dalam membangunkan bangunan ini,”katanya.

Views:

1202
Kongsi :
Previous post Murid Tahun 1: 14,899 mulakan persekolahan 20 Januari depan
Next post Bebanan COVID-19, Melaka tidak wajibkan pembelian buku latihan berlogo sekolah
Ubah saiz-+=