Bebanan COVID-19, Melaka tidak wajibkan pembelian buku latihan berlogo sekolah

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

AYER KEROH 29 Dis. – Melaka tidak mewajibkan murid dan pelajar sekolah di negeri ini menggunakan buku latihan berlogo lencana sekolah bagi mengurangkan bebanan ibu bapa membeli kelengkapan persekolahan.

Pengerusi Jawatankuasa di Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknikal & Vokasional Sains dan Inovasi) negeri, Datuk Noor Effandi Ahmad berkata, pihaknya menyedari ada dalam kalangan ibu bapa yang kurang berkemampuan tatkala berdepan cabaran ekonomi akibat pandemik COVID-19.

Justeru, beliau meminta semua sekolah memberi kelonggaran agar buku latihan biasa tanpa logo sekolah juga dibenarkan untuk murid-murid di negeri ini.

Namun, ujarnya, jika ada ibu bapa yang berkemampuan, tidak salah sekiranya menyokong inisiatif pihak sekolah dengan membeli buku berlogokan lencana sekolah berkenaan memandangkan keuntungan jualan akan kembali semula kepada anak-anak mereka sendiri.

“Sebenarnya, boleh sahaja kalau ibu bapa hendak membeli buku latihan tanpa logo sekolah. Mungkin ada ibu bapa boleh dapatkan bekalan itu dengan harga jauh lebih rendah dan mungkin juga ada yang kurang berkemampuan. Itu tidak salah.

“Tetapi untuk isu ini, kadang-kadang kita perlu juga menyokong inisiatif yang disediakan pihak sekolah. Kalau ada yang berkemampuan, tidak salah untuk menunjukkan sokongan kepada sekolah anak-anak mereka.

“Kita percaya keuntungan daripada penjualan buku itu akan masuk kepada koperasi atau ia mungkin digunakan kembali oleh pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk aktiviti anak-anak kita semula,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) di Pejabat Jabatan Pendidikan Negeri Melaka (JPN Melaka), di Bukit Beruang, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah JPN Melaka Karim Tumin dan Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah Rosni Leman.

Terdahulu, seorang aktivis di media sosial telah membangkitkan isu mengenai nasib ibu bapa yang kurang berkemampuan dalam membeli buku latihan berlogo sekolah di Negeri Melaka.

Dalam perbualan aktivis berkenaan, ibu bapa berkenaan mendakwa telah ditegur guru kerana menggunakan buku latihan tanpa logo sekolah pada sesi persekolahan sebelum ini dan meminta bantuan untuk urusan perbelanjaan persekolahan anak-anaknya bagi tahun 2021.

 

Views:

2344
Kongsi :
Previous post Realisasi jadikan Malaysia negara pengeluar tenusu
Next post Kartel daging: Syarikat guna logo halal palsu pada kenderaan didakwa esok
Ubah saiz-+=