Murid Tahun 1: 14,899 mulakan persekolahan 20 Januari depan

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

AYER KEROH 29 Dis. – Seramai 14,899 murid Tahun 1 di negeri ini bakal memulakan persekolahan 2021 pada 20 Januari depan.

Pengerusi Jawatankuasa di Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknikal & Vokasional Sains dan Inovasi) negeri, Datuk Noor Effandi Ahmad berkata, jumlah itu merangkumi murid di 238 buah sekolah rendah yang ada di Melaka.

Jelasnya, bagi pelajar tingkatan 1 pula, seramai 12,263 pelajar direkodkan melibatkan 77 buah sekolah menengah di seluruh negeri.

NOOR Effandi Ahmad

“Jumlah murid sekolah rendah di Melaka bagi tahun 2021 keseluruhannya ialah seramai 91,536, manakala sekolah menengah pula 64,446 orang sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pelajar di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka ialah seramai 155,982.

“Kesemua pelajar Tahun 1 hingga 6 serta pelajar Tingkatan 1, 4, 5 dan 6, termasuk pelajar Tingkatan 5 dan 6 atas bagi tahun 2020 bakal kembali ke sekolah untuk pembelajaran bersemuka pada 20 Januari 2021

“Pelajar Tingkatan 2 dan 3 akan menjalani pembelajaran secara dalam talian dan hanya kembali ke sekolah untuk pembelajaran bersemuka pada Mac 2021,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di Pejabat Jabatan Pendidikan Negeri Melaka (JPN Melaka), di Bukit Beruang, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata kesemua pelajar yang akan memulakan persekolahan 2021 di negeri ini akan dibekalkan dengan pelitup separuh muka dan cecair pembasmi kuman secara percuma.

Peruntukan itu, jelasnya, adalah seperti yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali dalam pembentangan Belanjawan Negeri Melaka 2021 yang mana kesemua peruntukan itu disalurkan kepada Perbadanan Bioteknologi Melaka untuk membekalkan pelitup separuh muka dan cecair pembasmi kuman itu.

Tambahnya, murid-murid akan dibekalkan pelitup muka tersebut secara ‘one off’ pada setiap bulan dan bekalan itu akan berterusan sehinggalah pandemik COVID-19 berakhir nanti.

“Secara tidak langsung, bantuan ini dapat mengurangkan beban ibu bapa dan murid juga akan lebih selamat tanpa perlu memakai pelitup muka yang sama setiap hari.

“Kita juga memberi jaminan kepada ibu bapa bahawa sekolah adalah tempat yang paling selamat untuk anak-anak yang mana mereka tidak perlu risau memandangkan pihak sekolah sudah lebih bersedia untuk menyediakan prosedur operasi standard (SOP) khusus bagi membendung penularan pandemik COVID-19 di sekolah,” ujarnya.

 

Views:

356
Kongsi :
Previous post Cadangan buka sempadan: Melaka bakal terima impak positif
Next post Realisasi jadikan Malaysia negara pengeluar tenusu
Ubah saiz-+=