Remaja minat jadi anggota bomba tabur budi

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

AYER LIMAU 16 Jun – Seorang remaja yang amat meminati tugas sebagai anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, menikmati kepuasan berbakti sesama manusia dengan melakukan kerja sanitasi secara sukarela.

Mohd Nasrul Shah Airul Rashid, 19, tetap setia menabur bakti meskipun tidak menerima sebarang ganjaran sepanjang bertugas sebagai anggota Pasukan Bomba Sukarela Lubok Cina (PBSLC), di sini.

Setiap kali program sanitasi rumah penduduk kampung dan taman diadakan, remaja terbabit pasti tidak ketinggalan berbakti dengan menyembur cecair sanitasi bersama-sama Setiausaha PBSLC, Zainudin Maulud, 56.

 

MOHD Nasrul Shah menyembur bahan sanitasi di kediaman penduduk Taman Berembang Jaya, Lubok Cina, Masjid Tanah.

“Saya amat meminati tugas sebagai anggota bomba kerana berpeluang berbudi sesama manusia, selain membantu menyelamatkan harta benda anggota komuniti.

“Selain menimba ilmu memadamkan api dan menyelamatkan nyawa manusia, saya juga berpeluang membantu menjaga kesihatan anggota masyarakat melalui kerja sanitasi,” katanya ketika membuat kerja sanitasi di Taman Berembang Jaya, Lubok Cina di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Lubok Cina, Azmi
Hashim, 57, dan Ahli Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Jaafar Atan, 58.

Anak sulung daripada tiga adik-beradik itu berkata, sejurus selepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada
Februari lalu, dia menganggotai PBSLC untuk menimba ilmu berkaitan kaedah memadamkan kebakaran.

“Alhamdulillah, saya dapat menimba ilmu bermanfaat yang boleh digunakan ketika kecemasan dan walaupun tugas itu sekadar membantu JBPM, saya berasa amat bertuah dapat menabur budi sesama manusia,” katanya.

Bercita-cita melanjutkan pengajian di menara gading, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Lubok Cina itu berhasrat
menyertai JBPM pada masa akan datang sebagai lanjutan usahanya berbakti kepada negara, katanya.

Sementara itu, Zainudin berkata, PBSLC mengeluarkan kos sendiri, selain menerima sumbangan daripada pertubuhan bukan kerajaan dan individu untuk membeli tiga jentera pam bagi melaksanakan sanitasi awam.

“Alhamdulillah, setakat ini kami sudah melakukan sanitasi bangunan kedai di pekan Lubok Cina dan beberapa bangunan awam
seperti klinik dan masjid di kawasan ini,” katanya.

Usaha berkenaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membantu usaha mengurangkan risiko jangkitan COVID-19, sekali gus membantu usaha kerajaan memulihkan negara daripada pandemik itu, katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

609
Kongsi :
Previous post Proses vaksinasi di PPV MMU lancar
Next post Vaksinasi harian terus meningkat, capai sasaran 200,000 sehari
Ubah saiz-+=