
REMPEYEK ‘JAWA’ ORIGINAL LATIFAH
REMBIA 20 Ogos – Bemula dari kilang, pasaran rempeyek diusahakan Latifah Ismail, 51, kini semakin berkembang termasuk menjadi hidangan peminat makanan tradisional itu yang berada sekitar Lembah Klang.
Berkongsi kisahnya dalam bidang keusahawanan, wanita cekal ini berkata, semuanya bermula pada 1998 ketika dia masih bekerja sebagai kerani di sebuah kilang di Alor Gajah.
Pemilik perniagaan Latifah Enterprise ini berkata, ketika itu pelanggan tetapnya adalah dalam kalangan rakan-rakan ditempat kerja dan semua itu dilakukan untuk menambah pendapatan keluarganya selain berasa seronok berniaga.
“Apa yang istimewa mengenai rempeyek ini adalah menggunakan resipi orang Jawa, dikongsi kakak ipar. Rasanya lebih rangup, menggunakan rempah seperti ketumbar, jintan manis dan jintan putih.
“Satu perkara yang menjadi pegangan saya dalam berniaga adalah, jangan sesekali berkira atau kedekut, semua bahan mesti cukup selain ikhlas, insya-Allah pelanggan berpuas hati dan datang berulang kali,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Katanya lagi, dia juga dibantu suami Mohd Fuat Abdul Rahman dan anak-anak untuk menyiapkan tempahan yang meningkat mendadak terutama setiap kali Ramadan.
Bagi mengelakkan kesulitan, Latifah berkata, pada kebiasaan dia akan membuka tempahan tiga bulan lebih awal sebelum Ramadan, agar semua persiapan dan proses menyediakan rempeyek lancar.
“Jika hari biasa saya boleh siapkan sekitar 2,000 keping rempeyek setiap hari, namun sepanjang musim perayaan boleh meningkat kepada ratusan ribu, jadi persiapan awal amat penting bagi mengelakkan sebarang kesulitan.
“Saya juga menawarkan produk lain seperti kerepek pisang, namun semuanya bergantung kepada permintaan daripada pelanggan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.