Resipi saat akhir Melaka United menjadi

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

PERUBAHAN taktikal saat akhir menjadi kunci kemenangan berharga Kelab Bolasepak Melaka United (Melaka United FC) ke atas Kedah Darul Aman FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam tadi.

Pengendali sementara Melaka United Mohd Asri Ninggal berkata, pertukaran beberapa pemain pada 20 minit terakhir memberi kesan besar untuk pasukannya membawa pulang tiga mata penuh di tempat lawan.

Katanya, perubahan itu dilakukan selepas melihat pemain lawan mula kepenatan pada saat-saat akhir.

“Saya tengok 20 minit akhir Kedah macam pancit, jadi saya buat pertukaran pemain hingga berhasil mengawal semula permainan.

“Pada 20 minit terakhir kita berjaya mendominasi permainan, seterusnya mengucar-ngacirkan pertahanan Kedah hingga menjaringkan gol.

“Apa yang penting dan terbukti, pemain telah mengikut taktikal diberikan dan mereka bermain bersunguh-sungguh hingga kita menang malam ini,” katanya.

Dalam aksi itu, Melaka United terlebih dahulu ketinggalan sebanyak dua kali sebelum bangkit menang 3-2 menerusi dua gol Ifedayo Olusegun dan satu gol daripada Emmanuel Oti.

Sementara itu, Pengurus Pasukan Muhammad Akram Abdullah memuji semangat juang pemain yang mahu mencipta kemenangan bersejarah di Alor Setar.

Beliau turut memuji persembahan cemerlang Ifedayo yang akhir memecahkan kebuntuan apabila membuka akaun gol bersama skuad Hang Tuah.

“Lebih manis penyerang import kita, Ifedayo Olusegun berjaya menyumbang dua gol sekali gus menamatkan kemarau jaringan musim ini.

“Sekalung tahniah saya ucapkan kepada semua pemain dan barisan jurulatih kerana telah menunjukkan semangat juang yang tinggi untuk bangkit bagi memperbaiki kedudukan dalam Liga Super,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1000
Kongsi :
Previous post Terima kasih keluarga Malaysia hadir rumah terbuka – PM
Next post Melaka pandang serius isu buli doktor pelatih
Ubah saiz-+=