AGENDA MALAYSIA BIRU PACU MALAYSIA MENUJU 100 TAHUN KEMERDEKAAN

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

AYER KEROH 26 September – Agenda Malaysia Biru digariskan sebagai ikhtiar untuk memastikan kekuatan sejarah dan jati diri negara diterjemahkan kepada kemajuan yang dapat dinikmati bersama menjelang 100 tahun kemerdekaan Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengasas Musyawarah Nasional, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, agenda berkenaan berpaksikan semangat mengenali akar sejarah negara supaya generasi masa depan tidak kehilangan haluan dalam membina Malaysia yang lebih maju dan sejahtera.

“Semangat inilah yang mendasari Agenda Malaysia Biru menuju 100 tahun kemerdekaan yang telah saya gariskan sebelum ini. Kita mahu kekuatan sejarah dan jati diri diterjemahkan kepada kemajuan yang dapat dinikmati bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Musyawarah Nasional 3.0 – Membongkar Polemik Tanah Melayu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Pengerusi Musyawarah Nasional Tan Sri Datuk Abdul Ghani Othman serta kenamaan lain.

Ahmad Zahid berkata, antara ikhtiar yang terkandung dalam Agenda Malaysia Biru ialah gagasan Malaysia Negara Pemilik, yang mahu membina rasa memiliki terhadap tanah air berasaskan kefahaman sejarah selain memperkukuh peluang rakyat membina kehidupan bermakna.

“Kita mahu rasa memiliki tanah air ini berakar pada kefahaman sejarah dan diperkukuh oleh peluang membina kehidupan yang bermakna.

“Apabila rakyat mempunyai kediaman, usaha dan hasil titik peluh untuk diwariskan, ikatan mereka dengan tanah air menjadi lebih kukuh,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan generasi akan datang bukan sahaja mengenali sejarah negara, tetapi turut mempunyai tempat dalam kemakmurannya dan berupaya menentukan masa depan sendiri.

“Kita mahu anak cucu berdiri di bumi ini dengan bangga kerana mereka mengenali sejarahnya, mempunyai tempat dalam kemakmurannya dan berupaya menentukan masa hadapannya.

“Di sinilah akar menjadi kekuatan, dan rasa kepunyaan menjadi tekad,” katanya.

Beliau berkata, perbincangan mengenai Tanah Melayu pula tidak seharusnya dilihat sebagai usaha untuk memenangkan hujah mengenai masa lalu, sebaliknya sebagai proses memahami akar sejarah bagi memastikan hala tuju negara pada masa hadapan lebih jelas.

“Kita membicarakan Tanah Melayu bukan semata-mata untuk memenangkan hujah tentang masa lalu. Kita mengenali akar supaya tidak kehilangan haluan ketika membina masa hadapan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

180
Kongsi :
Previous post ANGGUR BERBUAH MANIS DI BUMI AYER LIMAU