RM500 bantuan NADMA untuk mangsa banjir

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 26 Nov. – Mangsa banjir di negeri ini akan menerima bantuan wang tunai berjumlah RM500 daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Daerah, Luar Bandar dan Pengurusan Banjir negeri Datuk Seri Utama Idris Haron berkata, bantuan wang tunai itu akan diuruskan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk disalurkan kepada mangsa banjir.

Beliau berkata, selain bantuan daripada NADMA, kerajaan negeri juga turut menyalurkan bantuan wang tunai berjumlah RM200 kepada mangsa banjir.

“Untuk bantuan daripada NADMA ini, mangsa akan menerima RM500 dan layak untuk sekali sahaja bagaimanapun di bawah kerajaan negeri mangsa banjir layak menerima RM200 setiap tiga bulan sekali.

“Bagaimanapun mangsa banjir ini perlu mengikut prosedur yang ditetapkan untuk membolehkan mereka layak antaranya berdaftar serta perlu membuat laporan polis,” katanya.

Sementara itu, mengulas lanjut Idris berkata, beberapa kawasan dalam Daerah Melaka Tengah antaranya Malim, Taman Merdeka dan Krubong yang kebiasaannya banjir tidak terjejas kali ini kerana persediaan awal dilakukan menerusi kumpulan yang ditugaskan memantau dan menyiarkan ramalan cuaca.

“Kita terus adakan satu kumpulan yang akan siarkan ramalan cuaca dalam tempoh seminggu maknanya kita akan tahu cuaca yang bakal berlaku contoh di mana akan hujan serta ketinggian aras laut daripada situ sedikit sebanyak dapat memberi amaran akan berlakunya banjir.

“Melalui ini penduduk dapat bersedia lebih awal termasuk daripada segi fizikal dan mental mereka. Kali ini kita bersedia lebih awal apabila maklumat ini dialirkan dengan pantas dan kurang banjir di Melaka Tengah tidak seperti sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah APM negeri Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali berkata, buat masa ini jumlah keseluruhan mangsa banjir belum diperoleh pihaknya memandangkan masih ada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka.

“Selepas kesemua PPS ini ditutup data mangsa banjir akan dikumpulkan dan pejabat daerah akan melakukan saringan bagi mengelakkan sebarang pertindihan sebelum APM menyerahkan senarai kepada NADMA.

“Sumbangan ini diberikan dalam monsun timur laut dan mereka perlu ada laporan polis serta berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan berpindah untuk membolehkan mereka layak,” katanya.

Views:

547
Kongsi :
Previous post COVID-19: MPHTJ tak halang peniaga berniaga
Next post Agong zahir penghargaan Ahli Parlimen sokong Belanjawan 2021
Ubah saiz-+=