COVID-19: MPHTJ tak halang peniaga berniaga

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

AYER KEROH 26 Nov. – Peniaga dibenarkan berniaga secara kecil-kecilan termasuk di hadapan rumah di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) bagi membantu golongan terjejas menjana pendapatan akibat pandemik COVID-19.

Yang Dipertua MPHTJ Datuk Shadan Othman berkata, MPHTJ mengambil inisiatif itu sebagai usaha membantu kerajaan negeri yang mahu menggalakkan rakyat negeri menjana pendapatan selepas kehidupan terjejas akibat pandemik itu.

Katanya, menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Kewangan MPHTJ yang diadakan bersama ahli majlis pihaknya memutuskan untuk memudahkan peniaga untuk berniaga di kawasan bersesuaian termasuk di hadapan rumah dan tepi jalan.

“Ini adalah salah satu inisiatif kita untuk membantu mengurangkan bebanan rakyat serta merancakkan kegiatan ekonomi penduduk yang terkesan akibat COVID-19,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan gimik membanteras banting iklan ah long di Kompleks Melaka Mall, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Shadan berkata, setakat ini lebih 500 permohonan peniaga kecil diterima termasuk mereka yang mahu berniaga dan menjaja di kawasan perumahan, di tepi jalan, di luar kompleks Melaka Mall.

Bagaimanapun katanya, mereka perlu mematuhi syarat yang ditetapkan termasuk mengambil suntikan tifoid selain memohon lesen menjaja sementara dengan bahagian perlesenan MPHTJ bagi memudahkan sebarang pemantauan dan pemeriksaan dilakukan.

“Walaupun kita benarkan untuk berniaga di taman perumahan, namun mereka tidak dibenarkan untuk di jalan sesak dan sekiranya kita menerima aduan bahawa lokasi itu tidak sepatutnya, kita akan meminta peniaga beralih ke tempat yang lebih selamat.

“Tetapi apabila membabitkan kesihatan kita tidak akan berkompromi, kalau peniaga itu sakit kritikal seperti menghidap sakit kulit dan sebagainya kita tak kompromi sebab mereka nak berniaga makanan kerana itu penting mereka mengambil suntikan tifoid,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Shadan berkata, MPHTJ turut bersetuju memberikan pengurangan 50 peratus terhadap bayaran sewa bulanan kepada 504 peniaga di premis PBT itu.

“Kita turut menawarkan pemotongan 70 peratus terhadap tunggakan bayaran sewa dan lesen serta denda dalam tempoh dua bulan bermula bulan ini sehingga Disember ini,” katanya.

Views:

755
Kongsi :
Previous post MU lupakan Zainal, risik jurulatih ‘K-pop’
Next post RM500 bantuan NADMA untuk mangsa banjir
Ubah saiz-+=