MU lupakan Zainal, risik jurulatih ‘K-pop’

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

AYER KEROH 26 Nov. – Nasib Zainal Abidin Hassan bersama Melaka United sudah hampir pasti menemui titik noktah apabila pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) dikhabarkan sudah memutuskan ikatan dengan bekas pemain legenda negara itu.

Menurut sumber dalaman MUSA, melalui mesyuarat jawatankuasa khas yang diadakan pada Selasa lalu, difahamkan sudah ada kata sepakat untuk menandatangani ketua jurulatih baharu dalam masa terdekat.

Sumber itu turut menyebut antara nama yang kini berada pada senarai teratas ialah seorang jurulatih dari Korea Selatan yang tidak didedahkan namanya.

“Buat masa ini pihak MUSA akan berunding lebih lanjut mengenai soal kontrak dan gaji yang akan ditawarkan kepada jurulatih Korea itu.

“Bagaimanapun jika rundingan menemui jalan buntu, MUSA turut bersedia dengan ‘pelan B’ iaitu menyenarai pendek dua lagi jurulatih tempatan.

“Boleh dikatakan nama Zainal Abidin Hassan kini sudah tiada lagi dalam perancangan pasukan,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).

Khabar angin mengenai nama jurulatih Korea Selatan itu kini sedang hangat diperkatakan oleh para penyokong skuad Hang Tuah.

Difahamkan jurulatih tersebut ialah Lee Eul-yong yang juga merupakan bekas pemain kebangsaan Korea Selatan, selain pernah menjadi pengurus sementara FC Seoul pada 2018.

Bagaimanapun sumber tersebut enggan mengesahkan mengenai khabar angin yang sedang bertiup kencang itu.

Mengulas mengenai pemilihan jurulatih ‘K-pop’ itu, kelab penyokong Demi Melaka United (DMU) memilih untuk menyerahkan segala keputusan kepada pihak pengurusan untuk menentukan hala tuju pasukan musim depan.

Bagaimanapun, wakilnya, Mohamad Odiyas Onan berharap pemilihan tersebut tidak akan memakan diri di masa akan datang terutama membabitkan soal kewangan.

“Kita tidaklah menghalang keputusan tersebut kerana mungkin dengan kedatangan jurulatih luar dapat mengubah corak permainan pasukan.

“Namun, pada masa sama kita khuatir jika keputusan itu boleh menimbulkan segala macam masalah terutama membabitkan perbelanjaan dan kewangan seperti yang berlaku sebelum ini,” katanya ketika dihubungi MHI.

Menurutnya, adalah lebih baik jika pengurusan memilih jurulatih tempatan memandangkan peruntukan pasukan untuk musim depan mungkin bakal dikurangkan.

Mohamad Odiyas berkata, antara nama jurulatih tempatan yang dilihat sesuai menyandang tugas itu ialah bekas pengendali Melaka United di pertengahan musim 2018 E. Elavarasan.

“Dari sudut pengalaman kita lihat inilah jurulatih yang paling sesuai kerana dia telah membuktikan kemampuannya sewaktu memimpin Melaka United dahulu.

“Lagi pun, dengan kewangan yang terhad, pemilihan jurulatih tempatan dilihat lebih relevan, selain kebanyakan mereka tidak memerlukan masa yang lama untuk menyesuaikan diri dalam saingan Liga Malaysia,” katanya lagi.

Views:

558
Kongsi :
Previous post Mahu jual duit lama RM2.05, pelajar sekolah rugi RM10,540
Next post COVID-19: MPHTJ tak halang peniaga berniaga
Ubah saiz-+=