Mahu jual duit lama RM2.05, pelajar sekolah rugi RM10,540

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

AYER KEROH 26 Nov. – Pelajar sekolah kerugian RM10,540 selepas terpedaya dengan tawaran membeli wang kertas dan syiling lama miliknya berjumlah RM2.05 yang diiklankan melalui laman sosial Instagram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden E. Sundra Rajan berkata, kejadian bermula apabila pemuda berusia 18 tahun itu melayari laman sosial berkenaan semalam.

“Mangsa berkenalan dengan suspek yang mendakwa warga Amerika Syarikat dan merupakan pengumpul wang lama sebelum suspek menawarkan harga tinggi untuk membeli wang kertas dan syiling lama milik mangsa.

“Selepas berbual, mangsa kemudiannya menawarkan untuk menjual wang kertas lama RM2 dan lima keping syiling satu sen miliknya kepada suspek yang kemudiannya bersetuju untuk membeli kesemua wang lama itu pada harga RM50,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, suspek kemudian telah memberi butiran bayaran yang telah dibuatnya kepada mangsa melalui pesanan Whatsapp sebagai bukti.

“Namun tidak lama kemudian, mangsa dihubungi individu tidak dikenali yang mendakwa daripada pihak Bank Negara Malaysia dan memintanya membayar cukai atas transaksi berjumlah RM50,000 berkenaan kerana transaksi dibuat dari luar negara.

“Tanpa membuat apa-apa pertanyaan, mangsa telah melakukan 15 transaksi pembayaran keseluruhannya berjumlah RM10,540 ke dalam dua nombor akaun bank yang diberi,” katanya.

Sundra Rajan berkata, selepas membuat bayaran barulah mangsa sedar tiada sebarang transaksi masuk wang seperti yang diberitahu suspek ke dalam akaun mangsa.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengulas lanjut beliau menasihatkan orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dalam dalam melakukan pemindahan wang ke akaun tidak dikenali serta terlebih dahulu menyemak nombor akaun yang meragukan.

“Semakan boleh dibuat melalui laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau muat turun aplikasi “check scammers ccid ” di Playstore supaya
dapat mengelakkan diri dari menjadi mangsa penipuan.

“Aplikasi mudah alih ini untuk membolehkan masyarakat semak akaun bank dan nombor telefon yang mempunyai rekod jenayah secara sahih,” katanya.

Views:

4985
Kongsi :
Previous post MPHTJ musnah 5,000 iklan ceti haram
Next post MU lupakan Zainal, risik jurulatih ‘K-pop’
Ubah saiz-+=