MPHTJ musnah 5,000 iklan ceti haram

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 26 Nov. – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) memusnahkan sebanyak 5,000 iklan peminjam wang tidak berlesen atau ceti haram dan mengeluarkan kompaun kepada individu yang memasang iklan itu di kawasan seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dalam tempoh Januari sehingga hari ini.

Yang Dipertua MPHTJ Datuk Shadan Othman berkata, pihaknya menurunkan semua iklan haram yang dipasang di sekitar kawasan perumahan, pusat membeli-belah dan kawasan jalan raya menerusi operasi yang dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, pihaknya turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengesan nombor yang tertera dalam iklan terbabit supaya pihak polis boleh mengambil tindakan undang-undang sewajarnya.

“Sebagai contoh, jika kita lihat di taman perumahan di Taman Tasik Utama, penduduk di kawasan itu agak padat dan ia menjadi tumpuan untuk ceti haram ini mengiklankan pinjaman wang tidak berlesen kepada penduduk setempat.

“Turut menjadi tumpuan (pemasangan iklan haram) di kawasan pusat beli belah serta di kawasan Ayer Keroh yang menjadi lokasi tumpuan pekerja kilang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri gimik pelancaran banteras banting dan iklan ah long di kompleks perniagaan Melaka Mall di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Shadan berkata dalam tempoh sama, pihaknya turut mengeluarkan kompaun kepada 20 individu kerana memasang iklan haram itu  di tempat awam.

“Bagi kesalahan memasang iklan haram itu, kita mengeluarkan kompaun sebanyak RM250 mengikut Undang-undang Kecil Iklan MPHTJ 2010,” katanya.

Jelasnya, penguatkuasa MPHTJ bagaimanapun menghadapi kesukaran untuk menahan individu yang menggantung iklan itu berikutan golongan itu sering melakukan aktiviti itu pada waktu malam dan dalam tempoh yang singkat.

“Pihak MPHTJ memandang serius perkara ini kerana ia melibatkan kebersihan bandar di samping kita mahu mengelakkan masalah sosial yang memberi kesan negatif kepada masyarakat,” katanya.

Views:

1723
Kongsi :
Previous post ‘Alhamdulillah saya tidak perlu lagi menadah hujan’
Next post Mahu jual duit lama RM2.05, pelajar sekolah rugi RM10,540
Ubah saiz-+=