‘Alhamdulillah saya tidak perlu lagi menadah hujan’

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

PANTAI KUNDOR 26 Nov. – “Alhamdulillah, setiap kali hujan, saya tidak perlu lagi menadah air yang masuk melalui bumbung yang bocor atau bimbang dihempap bumbung atau dinding usang,” kata Abdul Ghani Mohd Noor, 60.

Orang kurang upaya (OKU) itu sudah mampu tersenyum sejak mula menghuni rumah baharunya yang siap minggu lalu hasil sumbangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor Datuk Nor Azman Hassan.

Abdul Ghani berkata, dia terpaksa menadah air setiap kali hujan berikutan kebanyakan bumbung zink kediaman lama bocor akibat sudah terlalu uzur.

“Sejak arwah ibu dan ayah meninggal dunia lebih 20 tahun lalu, saya tinggal berseorangan di rumah pusaka itu dan tidak mampu menggantikan bumbung atau dinding papan yang sudah uzur kerana hanya bekerja di kedai makan.

ABDUL Ghani

“Kami ada lima adik-beradik, tetapi sekarang hanya tinggal saya dan adik perempuan berusia 57 tahun yang tinggal bersama-sama keluarganya di taman tidak jauh dari kampung ini,” katanya ketika ditemui di kediaman baharunya di Kampung Tangga Batu Pekan, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Nor Azman dan kira-kira 30 pemimpin serta penduduk kampung itu yang menghadiri majlis kenduri doa selamat sempena siapnya rumah berkenaan.

Abdul Ghani berkata, sejak lima tahun lalu beliau tidak bekerja kerana menghidap pelbagai jenis penyakit, terutama diabetes yang menyebabkannya terpaksa bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Rumah lama itu sudah terlalu uzur dan saya pernah memohon mendapatkan rumah program perumahan rakyat termiskin (PPRT) tetapi tidak ada rezeki saya.

“Saya amat bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada Yang Berhormat (Nor Azman) kerana sanggup berkorban menggunakan wang sendiri untuk membina rumah ini,” katanya.

Nor Azman berkata, beliau bimbang Abdul Ghani ditimpa bumbung atau dinding rumah yang sudah terlalu uzur akibat dimakan anai-anai.

Sumbangan rumah satu bilik dan satu bilik mandi itu diharapkan mampu memberikan keselesaan untuk Abdul Ghani meneruskan kehidupan tanpa perlu bimbang ditimpa bumbung atau dinding yang sudah usang, katanya.

Bagaimanapun, beliau meminta penduduk yang layak supaya tidak berputus asa memohon mendapatkan skim perumahan untuk rakyat termiskin dan pertimbangan hanya akan diberi kepada mereka yang benar-benar memenuhi kriteria.

Views:

1057
Kongsi :
Previous post Belanjawan 2021 lulus di peringkat dasar di Dewan Rakyat
Next post MPHTJ musnah 5,000 iklan ceti haram
Ubah saiz-+=