RM50,000 ‘melayang’ sebabkan pencemaran sungai

0
551
PEGAWAI JAS Melaka melihat kawasan pencemaran di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang, 30 April lalu.

AYER KEROH 30 Nov. – Padah sebabkan pencemaran sungai, sebuah syarikat di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini.

Tertuduh, Nik Mustaffa Mohamad Noor selaku Pengarah Projek Greenviro Solution Sdn. Bhd. mengaku bersalah atas tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa gagal mengendali dan menyelenggara sistem pengolahan larut resapan mengikut amalan kejuruteraan yang baik sehingga menyebabkan kebocoran larut resapan ke perairan pedalaman.

Kesalahan itu dilakukan di tapak pelupusan sisa pepejal berkenaan dan didakwa di bawah Peraturan 29, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pencemaran Daripada Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Dan Kambus Tanah) 2009, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau lima tahun penjara.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, tertuduh mengaku bersalah membuang larut resapan yang mengandungi kepekatan melebihi had perimeter ke perairan pedalaman serta menyebabkan larut resapan secara pintasan ke perairan pedalaman.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa di bawah Peraturan 13 dan Peraturan 17 (1), akta yang sama yang juga memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau lima tahun penjara.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku salah di atas kesemua pertuduhan dan Hakim telah menjatuhkan hukuman denda RM20,000 bagi pertuduhan pertama dan masing-masing RM15,000 bagi pertuduhan kedua dan ketiga.

Dalam kejadian 30 April lalu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka telah melakukan siasatan berhubung aduan pencemaran sungai berhampiran tapak pelupusan sisa pepejal itu dan mendapati terdapat kebocoran larut resapan dari sel di mana air larut resapan ini telah mengalir ke dalam `longkang air hujan’ di dalam di tapak pelupusan tersebut dan ianya terus mengalir keluar ke perairan.

Sampel berkenaan telah diambil dan hasil ujian Jabatan Kimia Malaysia cawangan Melaka menunjukkan bahawa larut resapan tersebut tidak mematuhi piawai yang ditetapkan.

Dalam perkembangan berlainan, sebuah lagi syarikat, Syntronix Asia Sdn. Bhd. turut didenda RM40,000 oleh mahkamah yang sama di atas dua pertuduhan melepaskan efluen perindustrian melebihi had dibenarkan.

Tertuduh, Yong Kuan Ho, Pengarah Urusan syarikat terbabit didapati melakukan kesalahan tersebut di alamat No. 8722, Plot 8, Kawasan Perindustrian Bebas Batu Berendam, Peringkat III, Bacang, Melaka pada jam kira-kira 10.50 pagi hingga 1.00 petang, 26 Februari lalu.

Tertuduh yang diwakili peguam, Amber Foo Qiao Wei kemudiannya mengaku bersalah dan didenda RM25,000 bagi kesalahan pertama dan RM15,000 bagi kesalahan kedua.