
RMK13: MELAKA KEMUKA 258 PROJEK PEMBANGUNAN
AYER KEROH 18 Ogos – Melaka telah mengemukakan permohonan sebanyak 258 projek menerusi Rolling Plan 1 (RPI) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi tahun 2026, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Ketua Menteri berkata, permohonan yang disusun akan memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur moden, pengukuhan ekonomi digital dan pemerkasaan industri strategik negeri.
Katanya, RMK-13 menjadi pemangkin untuk memperkukuh kedudukan negeri sebagai destinasi pelancongan terunggul, pusat industri halal serantau dan negeri yang lebih bersedia menghadapi cabaran perubahan iklim serta keperluan infrastruktur masa depan.
“Kerajaan Negeri menyambut baik pembentangan RMK-13 2026-2030 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1 Ogos lalu bertemakan ‘Melakar Semula Pembangunan Demi Mengangkat Martabat Rakyat’.
“Melaka juga menyambut baik pengumuman Kerajaan Persekutuan yang memfokuskan tumpuan kepada Melaka antaranya menerusi pembangunan Zon Pelaburan Pelancongan (STIZ); Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Baru dan Penubuhan Pembangunan Halal Industrial Park,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Bagi Bulan Ogos 2025 dan Kibar Jalur Gemilang Bersama Penjawat Awam Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata semua insiatif itu akan dilaksanakan dengan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, Persekutuan, sektor swasta dan koperasi bagi memastikan pembangunan yang inklusif.
“Menerusi perancangan dan pelaksanaan ini, kita bukan sekadar membina projek, tetapi membina masa depan Melaka yang lebih mantap dan berdaya saing,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.