‘Robot Street Sweeper’ kekalkan kebersihan di Zon Bebas Kenderaan
Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat
AYER KEROH 28 Oktober – ‘Robot Street Sweeper’ bukan sahaja memendekkan tempoh masa kerja pembersihan sebaliknya turut menjadi tumpuan dalam kalangan pelancong dan pengunjung bersantai di Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir.
Pengurus Besar Korporat SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment), Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, inisiatif memperkenalkan jentera itu adalah komitmen berterusan pihaknya dalam memastikan kebersihan di kawasan tumpuan pelancong.
Menurutnya, langkah itu juga adalah sebahagian daripada persediaan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
“Jentera Dream C&G Road Sweeping Robot DCG-RCB200 menjadikan kerja pembersihan lebih cekap dan optimum. Kita menetapkan kawasan operasi jentera ini sekitar Zon Bebas Kenderaan (Car Free Zone) di Bandar Hilir pada Sabtu setiap minggu bermula jam 6 petang hingga 12 tengah malam.
“Hanya seorang operator diperlukan untuk mengendalikan Robot Street Sweeper, secara manual atau automatik menggunakan alat kawalan jauh, bergantung kepada kesesuaian dan keperluan kawasan lokasi pembersihan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Mohd Norlisam berkata jentera yang diperkenalkan itu mampu menampung sejumlah 100 liter sampah pada satu-satu masa.
Ujarnya, jentera dilengkapi berus sapuan dan mesin sedutan itu boleh melaksanakan kerja pembersihan dengan pergerakan dalam radius dua hingga ke tiga kilometer setiap jam.
“Bateri jentera ini mampu bertahan sehingga lapan jam. Selain itu, beacon light (lampu amaran) bagi jentera ini menggunakan tenaga solar yang mesra alam meningkatkan lagi aspek keselamatan operator dan orang ramai berada sekitar lokasi pembersihan.
“Antara ciri-ciri keselamatan lain jentera ini adalah dilengkapi alat pengesan (sensor) yang mampu mengesan objek 45 darjah ke bawah dipasang pada hadapan.
“Selain itu operasi jentera pintar ini akan berhenti secara automtik jika mengesan halangan. Berdasarkan kepada saiznya jentera ini sesuai untuk menjalankan kerja pembersihan di kawasan sempit seperti laluan pejalan kaki,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.
Views:
1136