Fazil Group tawar 200 jawatan bergaji serendah RM4,000 buat anak Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

BANDA HILIR 27 Oktober – Sebanyak 200 peluang pekerjaan akan dibuka buat anak jati Melaka berminat membina kerjaya dan menambah pengalaman bersama Fazil Group.

Pengasasnya, Datuk Seri Mohamad Fazil Shafie berkata, pelbagai peluang pekerjaan akan dibuka syarikatnya itu yang menawarkan perjawatan dengan gaji serendah RM4,000.

Jelasnya, antara peluang yang dibuka adalah seperti perjawatan tetap bagi ejen insurans, pembantu jualan di kedai emas dan pelbagai lagi .

“Kita memerlukan lagi 200 kakitangan untuk bekerja dengan syarikat kami untuk melakar kerjaya sekiranya lulus dalam latihan yang diberikan.

“Syarat yang dibuka adalah buat seluruh anak Melaka berumur 18 tahun ke atas dengan latar pendidikan sekurang-kurangnya lima kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Peluang pekerjaan ini akan dibuka menerusi satu temu duga yang akan diadakan di Hotel Courtyad by Marriot Melaka pada 23 Disember depan dan berharap anak Melaka tidak melepaskan peluang untuk menghadirkan diri pada hari tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Sumbangan Fazil Group Kepada Ansaf Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Tengkera di Galeri Fazil Group, Jalan Munshi Abdullah, di sini, semalam.

Terdahulu, dalam program diadakan itu seramai 20 veteran ATM kategori tidak berpencen, ibu tunggal dan asnaf diraikan, mereka turut menerima sumbangan tunai telah disampaikan Mohamad Fazil.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Fazil yang juga Presiden (PVATM) berkata, pihaknya komited bagi memastikan kebajikan veteran di negara ini sentiasa terbela.

Ujarnya, selain memfokuskan perihal bantuan dan kebajikan veteran pihaknya akan membuka peluang perniagaan kepada golongan itu bagi menjana pendapatan.

“Selain membuka peluang perniagaan menerusi Koperasi Fazil Group menumpukan kepada penjualan kedai emas yang membawa pulangan buat ahli, pelbagai peluang perniagaan lain direncana bagi menambah keuntungan koperasi.

“Selepas ini juga kita akan menumpukan kepada pembinaan sebuah inap desa atau hotel bajet sebagai sebuah platform perniagaan baharu menerusi koperasi ini.

“Kita merancang untuk membina sebuah hotel di tapak lot tanah di Tengkera di mana ia masih di bawah perancangan kita untuk memastikan hasrat ini tercapai,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

40416
Kongsi :
Previous post ‘Robot Street Sweeper’ kekalkan kebersihan di Zon Bebas Kenderaan
Next post Unifi Business bantu lahirkan usahawan digital
Ubah saiz-+=