RTM Melaka terus relevan di hati rakyat – Ketua Menteri
AYER KEROH 1 April – Radio Televisyen Malaysia (RTM) Melaka diharap kekal relevan dalam membantu kerajaan negeri memutuskan rantaian COVID-19 melalui penyiaran pelbagai informasi benar dan tepat berkaitan pandemik itu kepada masyarakat.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, sebagai medium penyampaian berita dan informasi berkesan, RTM juga memainkan peranan penting dalam pembangunan pembangunan ekonomi negeri selain menyemai perpaduan dalam jiwa seluruh rakyat negeri ini.
Katanya, seiring peredaran zaman, RTM juga sudah banyak berubah terutama dalam menyiarkan perkembangan semasa termasuk berkaitan COVID-19 tanpa mengira situasi.
“Kerajaan negeri menyanjung tinggi peranan RTM dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19 dengan menguar-uarkan kepada rakyat di negeri supaya mendaftar dalam aplikasi MySejahtera untuk menerima vaksin, yang mana saya dimaklumkan lebih 30 peratus di negeri ini sudah mendaftar menerusi aplikasi itu.
“Begitu juga saya harap stesen penyiaran ini dapat menyebarkan segala informasi dasar kerajaan meliputi semua aspek pembangunan negeri seperti ekonomi, kesihatan dan pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sambutan Hari Ulang Tahun RTM ke-75 di Jabatan Penyiaran Negeri Melaka di Jalan Taming Sari, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah Penyiaran Melaka, Mohd Yusni Mohammed Ali dan Timbalannya, Fitri Al-Ibni Nadzri.
Terdahulu, pelancaran sambutan yang diadakan secara serentak di 14 lokasi stesen RTM di seluruh negara disempurnakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin manakala di peringkat negeri, majlis itu disempurnakan oleh Sulaiman.
Turut dilancarkan secara serentak di seluruh negara adalah logo baharu RTM dan saluran baharu RTM iaitu saluran Sukan RTM dengan tema ‘Sukan Untuk Semua’.
Bagi peringkat negeri pula, pelancaran logo baharu bagi stesen radio Melaka FM.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.