Ruang solat masjid tidak akan jadi tempat suntik vaksin – Kamarudin

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 16 Julai – Ruang solat di dalam empat buah masjid di negeri ini tidak akan dijadikan sebagai tempat suntikan vaksin COVID-19.

Penasihat Agama kepada Ketua Menteri, Datuk Kamarudin Sidek sebaliknya berkata, hanya ruang ruang seperti bilik mesyuarat atau bilik-bilik lain di luar akan dijadikan tempat vaksin.

“Ini kita perlu jelas, ruang solat utama tak boleh dijadikan tempat vaksinasi sebaliknya perlu dijaga kesuciannya.

“Hanya ruang-ruang lain di luar yang boleh dimanfaatkan untuk proses vaksinasi kepada 400 penerima setiap hari Sabtu bermula 31 Julai ini,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini di sini malam ini.

Terdahulu, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali hari ini mengumumkan empat buah masjid di negeri ini terpilih untuk dijadikan pusat vaksinasi terbaharu hasil kerjasama kerajaan negeri dengan NGO.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Majlis Amanat Penjawat Awam Julai 2021 yang disiarkan secara dalam talian melalui Facebook (FB) rasmi Sulaiman Md Ali, Kerajaan Negeri Melaka dan Melaka Hari Ini pagi tadi.

Mengulas lanjut, Kamarudin yang juga Pesuruhjaya PAS Melaka berkata, empat buah masjid berkenaan ialah Masjid Al Alami MITC, Masjid Ar Rahman Tanah Merah, Krubong, Masjid Jamek Ar Rahman Kampung Pulai, Jasin dan Masjid Tun Khalil, Asahan.

Tambahnya pemilihan empat buah masjid terbabit juga telah memenuhi garis panduan yang dikeluarkan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF).

“Setiap masjid ini mampu melakukan 400 suntikan vaksin setiap Sabtu yang diteruskan selama 12 minggu bermula 31 Julai ini.

“Proses vaksinasi ini melibatkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Perubatan Ibnu Sina (PAPISMA) dengan kekuatan 60 sukarelawan medik iaitu doktor, jururawat, pembantu perubatan dan ahli farmasi.

“Kumpulan ini turut dibantu 110 sukarelawan bukan medik bagi mencapai sasaran Melaka mencapai sasaran 14,000 suntikan sehari,” katanya.

 

 

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

464
Kongsi :
Previous post Pengusaha kedai komputer dan telekomunikasi kembali bangkit
Next post PM minta negara pengeluar elak lambakan bekalan vaksin
Ubah saiz-+=