PM minta negara pengeluar elak lambakan bekalan vaksin

Masa Membaca:2 Minit, 42 Saat

KUALA LUMPUR 16 Julai – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyeru kuasa ekonomi yang menghasilkan vaksin supaya mengelakkan berlakunya lambakan bekalan dan sebaliknya berkongsi negara yang memerlukan berikutan rundingan untuk memperoleh bekalan itu mengambil masa.

Katanya nasionalisme vaksin dan lambakan bekalan itu adalah tidak produktif dalam usaha meningkatkan kadar vaksinasi dan membuka laluan untuk pemulihan merentas negara.

Pada masa sama, beliau menggesa negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) perlu memperkukuhkan kerjasama untuk akses bekalan vaksin COVID-19 secara saksama dan mampu dibeli untuk kegunaan semua.

“Kami telah melihat bahawa terdapat hubung kait antara kejayaan program vaksinasi atau peningkatan kadar inokulasi dan keupayaan mempercepatkan proses pemulihan ekonomi.

“Dengan penularan tinggi varian baharu, vaksin COVID-19 adalah penghubung nyawa bagi rakyat kita” katanya semasa sesi intervensi pada Pemukiman Tidak Rasmi Pemimpin-Pemimpin APEC yang diadakan secara maya, hari ini.

Justeru, Perdana Menteri berkata ekonomi negara berdasarkan antara kerajaan perlu memastikan bahawa jurang vaksinasi global yang ketara bukanlah satu halangan dalam usaha mencapai imuniti kelompok dan serta mesti bertindak dengan bijak bagi memastikan tiada negara yang tertinggal di akhir garisan penamat COVID-19.

“Dengan semangat ini, sambil menekankan kepentingan memelihara insentif untuk inovasi, Malaysia menyokong inisiatif global untuk meningkatkan kapasiti vaksin global termasuk menerusi rundingan di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) mengenai pengecualian sementara peruntukan tertentu pada Perjanjian Perdagangan WTO Berkaitan Aspek Hak Harta Intelek (TRIPS).

“Ini adalah langkah ke arah yang betul kerana keadaan luar biasa memerlukan langkah luar biasa,” katanya.

Muhyiddin berkata walaupun ia menenangkan untuk melihat keadaan tertentu kembali ke tahap normal dalam beberapa negara namun banyak negara lain masih bergelut untuk memulihkan semula kestabilan ekonomi.

“Nasib yang pelbagai ini menjadi punca kepada kebimbangan. Realitinya, dalam dunia globalisasi, kita semua saling bergantung dan salingan berkaitan dan ini memerlukan kita untuk mengambil tindakan segera dan tabah secara kolektif,” katanya.

Dalam notanya, Muhyiddin juga berkata pandemik COVID-19 telah banyak memberi kesan kepada kesalinghubungan rakyat kepada rakyat termasuk perjalanan rentas sempadan yang kini dianggap sebagai aktiviti berisiko tinggi.

“Ada pihak mungkin mengatakan ia adalah titik kepada permasalah. Membuka semula sempadan kami semasa era pandemik ini adalah berbahaya dan ia memerlukan perancangan amat teliti dan tahap keyakinan tertinggi daripada semua pihak,” katanya.

Beliau, bagaimanapun, memuji Jepun dan rakan sejawatnya Yoshihide Suga kerana menganjurkan temasya sukan terbesar iaitu Sukan Olimpik 2020 yang bermula minggu depan.

Menurut Muhyiddin penganjuran temasya sukan itu menjadi bukti pergerakan rentas sempadan mampu dilaksanakan di bawah peraturan ketat dan persekitaran terkawal.

Oleh itu, jelasnya, di sini terletaknya peluang untuk APEC mencari jalan tengah dalam memulihkan semula industri pelancongan dan kesalinghubungan rakyat di rantau ini dalam persekitaran yang selamat.

“Saya menggesa anggota negara APEC supaya membincangkan usaha mewujudkan gelembung perjalanan dan aturan kuarantin serta mengiktiraf pensijilan vaksinasi tanpa mengetepikan keperluan global yang ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Muhyiddin berkata, semua mesti menerima hakikat bahawa industri pelancongan yang satu ketika dulu rancak dan menjadi pemangkin serta menjadi nadi kepada perniagaan khusus peniaga kecil, dilanda kesan teruk akibat pandemik ini.

Katanya beliau berharap dan optimis bahawa perbincangan pada sesi pemukiman ini akan menjadi asas kepada program perkongsian ilmu dan pembinaan kapasiti di APEC.

“Beberapa hasil perbincangan ini boleh dimasukkan dalam pelaksanaan Visi Putrajaya 2040,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

304
Kongsi :
Previous post Ruang solat masjid tidak akan jadi tempat suntik vaksin – Kamarudin
Next post Kelonggaran terhadap individu lengkap vaksinasi diketahui tidak lama lagi
Ubah saiz-+=