Rumah PPRT terjejas akibat banjir akan dibaik pulih – Mahdzir

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

KUALA TERENGGANU, 2 Mac – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan membaik pulih infrastruktur dan rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang rosak atau musnah akibat banjir di Terengganu.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, beliau telah berbincang dengan pihak terlibat untuk meneliti kerosakan dan keperluan segera yang diperlukan oleh penduduk yang terjejas akibat bencana itu.

Beliau berkata kakitangan di bawah agensi kementerian itu juga akan digerakkan bersama peralatan logistik lengkap seperti kenderaan bagi membantu penduduk yang terlibat banjir.

“Saya berharap, semua mangsa banjir bersabar dengan dugaan ini, pada masa sama saya meminta supaya mereka sentiasa berhubung dengan pihak-pihak berkaitan termasuk agensi KPLB bagi menyalurkan sebarang maklumat jika ada yang memerlukan sebarang bantuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu katanya agensi di bawah kementeriannya iaitu Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) juga telah mengenal pasti bantuan segera berupa kit bantuan bencana kepada penduduk terlibat banjir di negeri ini.

Menurut Mahdzir bilik gerakan banjir di kawasan Ketengah juga telah dibuka sejak 25 Februari lepas.

“Sejumlah 3,000 unit kit bantuan bencana telah diserahkan kepada mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) dengan implikasi kewangan sejumlah RM300,000.

“Hari ini sebanyak 800 unit kit bantuan berjumlah RM80,000 disalurkan dan bantuan segera ini akan terus disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir yang terkesan dengan bencana yang melanda negeri ini terutama di kawasan Hulu Terengganu, Hulu Dungun dan Kemaman,” katanya.

Terdahulu Mahdzir mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam lawatannya ke PPS Kampung Batu 23 di Kuala Berang, Hulu Terengganu petang tadi.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1650
Kongsi :
Previous post Tokoh seniman Rahman B meninggal dunia
Next post Isu JKMPay, projek kerajaan terbengkalai antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini
Ubah saiz-+=