Rumah terbuka konsep ‘kenduri kahwin’

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

DURIAN TUNGGAL 25 April – Dianggarkan lebih 5,000 tetamu memeriahkan sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal di Kompleks Japerun Durian Tunggal, di sini, malam tadi.

Menariknya, sambutan tersebut mengetengahkan konsep ‘kenduri’ apabila menyediakan hidangan lauk-pauk yang biasanya disajikan pada majlis perkahwinan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal Zahari Abd Kalil berkata, konsep gotong-royong itu diperkenalkan bagi memupuk semangat muafakat dalam kalangan masyarakat memandangkan ia semakin dilupakan pada masa kini.

“Kita melihat di Durian Tunggal, sudah semakin kurang konsep gotong-royong, jadi kita bawa konsep ini untuk mengangkat semangat kerjasama itu dalam kalangan masyarakat agar ia menjadi ikutan.

“Untuk majlis ini, seramai 40 petugas terlibat membabitkan 12 Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JPKK) dalam DUN Durian Tunggal, yang mana ia turut membabitkan wanita dan anak muda.

“Seekor lembu kita tumbangkan untuk dimasak lauk kurma, selain pelbagai lagi juadah lain disediakan di gerai-gerai yang ada seperti mi goreng, roti canai, air balang dan lain-lain lagi,” katanya kepada pemberita pada majlis berkenaan.

Sambutan yang diadakan itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco serta lain-lain kenamaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

107
Kongsi :
Previous post Tirai ‘Cultural Show’ di Panggung Bangsawan dibuka
Next post Simbah sambal tumis sebelum samun warga emas
Ubah saiz-+=