Tirai ‘Cultural Show’ di Panggung Bangsawan dibuka

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

BANDARAYA MELAKA 25 April – Persembahan kebudayaan penari Bridged Seni membuka tirai persembahan ‘Cultural Show’ di Panggung Bangsawan malam tadi.

Persembahan berlangsung kira-kira 1 jam 30 minit itu menyajikan tarian unik terdapat di Negeri Melaka seperti etnik Baba Nyonya; Chetti; Portugis dan Dondang Sayang.

Program berbentuk persembahan pentas itu turut diserikan dengan nyanyian Fazli Zainal dan pertunjukan si ‘pemakan api’, Fazz Fire Eater.

Penolong Pengurus Kebudayaan Bridged Seni Melaka, Wee Juann Lee berkata pihaknya merasa teruja dan berbangga apabila dipilih untuk mempersembahkan pelbagai tarian budaya pada malam pertama Cultural Show itu.

Jelasnya, persembahan di pentas Panggung Bangsawan yang dibina semula atas tapak panggung tertua di negeri ini membawa seribu erti buat penari-penari kebudayaan.

“Saya difahamkan akan ada pelbagai aktiviti persembahan kebudayaan yang telah dirancang bagi menghidupkan semula Panggung Bangsawan ini.

“Pada saya, Panggung Bangsawan ini mempunyai nilai sentimental yang tinggi dan bakal menarik lebih ramai pengunjung dari luar khususnya sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) untuk menyaksikan persembahan mengenai budaya-budaya unik terdapat di Melaka,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.

Photo1713971960
ANTARA persembahan menarik disajikan kepada penonton. Foto Iqmal Haqim Rosman

Keterujaan itu turut disuarakan Artis Budaya Bridged Seni Melaka, Hafizah Ahmad Sari, 29, menyatakan keselesaan dalam penggunaan pentas dan fasiliti yang disediakan di Panggung Bangsawan.

“Sudah semestinya sebagai penari, kami akan datang awal ke lokasi, jadi banyak persiapan yang perlu dilakukan dan saya boleh katakan Panggung Bangsawan ini menyediakan fasiliti yang cukup lengkap serta selesa.

“Pada hemat saya, dengan pembukaan semula panggung ini dan pelbagai persembahan disajikan ia dapat menarik lebih ramai lagi pengunjung terutama yang luar Melaka untuk hadir,” katanya.

Manakala, bagi Artis Budaya Bridged Seni Melaka, Mohd Adi Fazli, 21, pertama kali membuat persembahan kebudayaan di pentas Panggung Bangsawan turut menyatakan keterujaannya.

“Ini pertama kali saya dapat membuat persembahan kebudayaan di Panggung Bangsawan yang saya kira panggung ini memang sangat selesa dengan pelbagai kelengkapan fasiliti disediakan.

“Selain itu saya tahu panggung ini berdiri di atas tapak panggung Cathay, sekali gus menjadikan panggung ini mempunyai nilai yang tersendiri, lokasinya pula bersebelahan Sungai Melaka, jadi memang teruja,” jelasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

72
Kongsi :
Previous post Perubahan laluan Banda Hilir telah dikemas kini pada ‘Google Maps’
Next post Rumah terbuka konsep ‘kenduri kahwin’
Ubah saiz-+=