Perubahan laluan Banda Hilir telah dikemas kini pada ‘Google Maps’

Masa Membaca:57 Saat

AYER KEROH 25 April – Perubahan jalan di kawasan Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir kini telah dikemas kini pada aplikasi Google Maps.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata, ia termasuklah membabitkan perubahan lencongan ke Banda Hilir melalui jambatan Chan Koon Cheng dan Lorong Hang Jebat.

Katanya, perubahan jalan berkenaan masih di peringkat tempoh percubaan bagi memastikan pergerakan ekonomi peniaga-peniaga sekitar terus ‘hidup’.

“Percubaan lencongan dan perubahan jalan ini bagi memastikan peniaga seperti di Medan Samudera, Pahlawan Walk dan kawasan sekitar dapat terus menikmati limpahan ekonomi daripada inisiatif yang kita jalankan.

“Pengunjung juga boleh menggunakan aplikasi Google Maps untuk mengetahui jalan yang terdekat. Kita sudah kemas kini laluan-laluan terlibat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Shadan berkata perubahan laluan itu menerima pelbagai reaksi daripada pemain industri pelancongan termasuk peniaga sekitar.

“Kita tidak menafikan memang pelbagai reaksi yang kita terima, ada negatif dan positif, namun kita laksanakan ini demi manfaat semua pihak.

“Ada juga peniaga yang memaklumkan pada kita, apabila kita buka laluan atau lencongan ini, ia juga memudahkan peniaga-peniaga menghantar barang dan sebagainya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

296
Kongsi :
Previous post ‘Tak perlu lagi menumpang teduh’
Next post Tirai ‘Cultural Show’ di Panggung Bangsawan dibuka
Ubah saiz-+=