RUU langkah sementara pembiayaan Covid-19 ambil kira undang-undang negara, luar negara

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) — Rang Undang-undang (RUU) Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) 2020 digubal dengan mengambil kira semua kerangka undang-undang negara, selain merujuk undang-undang negara lain, persidangan Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata langkah itu dilaksanakan bagi memastikan undang-undang yang diperkenalkan kelak adalah selaras dengan amalan yang diguna pakai di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata dalam menggubal RUU itu kerajaan memastikan program dan projek yang dikenal pasti dalam pakej rangsangan dan pelan pemulihan ekonomi yang diumumkan sebelum ini memberi impak langsung kepada rakyat serta ekonomi dalam jangka segera dan sederhana.

“Kerajaan (juga meneliti) keupayaan untuk menguruskan komitmen kewangan tambahan bagi melaksanakan pakej rangsangan dan pelan pemulihan ekonomi melalui pengenalan rang undang-undang ini.

“Kemampuan juga diukur sejauh mana kerajaan berupaya untuk kembali mematuhi disiplin fiskal sedia ada setelah tamat tempoh kuat kuasa akta ini,” katanya ketika membentangkan RUU itu untuk bacaan kali kedua.

RUU itu bertujuan mewujudkan peruntukan bagi langkah-langkah sementara berkaitan pembiayaan kerajaan untuk mengurangkan kesan COVID-19.

Ia termasuk menaikkan had amaun untuk jumlah wang yang boleh diperoleh di bawah Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 dan Akta Pendanaan Kerajaan 1983 bagi menubuhkan Kumpulan Wang COVID-19.

Selain itu, ia turut bertujuan membenarkan wang tersebut digunakan untuk program di bawah pakej rangsangan dan pelan pemulihan ekonomi yang menyaksikan sejumlah RM45 bilion diperuntukkan, selain Bantuan Prihatin Nasional sebanyak RM11.2 bilion.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata penggubalan RUU itu juga bersandarkan ketelusan dengan semua item perbelanjaan berkaitan pakej rangsangan dan pelan pemulihan disenaraikan dengan jelas di dalam rang undang-undang.

RUU itu akan menitikberatkan soal tadbir urus yang baik dengan ia memerlukan kerajaan membentangkan laporan tahunan berkaitan semua perbelanjaan, katanya.

Beliau berkata pakej rangsangan ekonomi bukan sahaja dilaksanakan oleh Malaysia malah hampir kesemua negara yang terjejas bagi mengurangkan impak akibat penularan COVID-19 dengan nilai anggaran berjumlah US$11 trilion.

Sebagai contoh, negara serantau Indonesia telah mengumumkan pakej rangsangan bernilai US$40.3 bilion atau 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK); Thailand (US$61.2 bilion atau 11.8 peratus daripada KDNK); manakala Singapura (hampir US$65.8 bilion atau 19.6 peratus daripada KDNK), katanya.

“Secara relatifnya, berdasarkan nisbah kepada KDNK, saiz pakej rangsangan dan pelan pemulihan ekonomi oleh Malaysia adalah setara dengan kebanyakan negara,” katanya.

— BERNAMA

Views:

854
Kongsi :
Previous post PKN Tangga Batu sahut saranan kibar Jalur Gemilang
Next post Orang Asli Slim River bakal terima bekalan elektrik
Ubah saiz-+=