Orang Asli Slim River bakal terima bekalan elektrik

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

TANJUNG MALIM 19 Ogos – Penduduk di perkampungan Orang Asli di Sungai Teras, Slim River di sini bakal menikmati bekalan elektrik menjelang hujung bulan ini selepas projek berkaitan bekalan tenaga itu tertangguh selama 22 bulan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak Datuk Zolkafly Harun berkata bekalan elektrik akan diterima setelah kerja-kerja pendawaian yang dilaksanakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bawah peruntukan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) selesai dalam masa terdekat.

“Kita jangka satu sinar baharu kepada masyarakat orang asal di Sungai Teras apabila menerima bekalan elektrik pada 27 atau 28 Ogos yang melibatkan 27 premis, 24 rumah, sebuah tadika, dewan dan gereja,” katanya pada sidang media di sini.

Beliau menegaskan penyelesaian itu bukan gula-gula politik untuk meraih undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, sebaliknya adalah tanggungjawab sosial korporat TNB yang sudah dirancang bersama Jakoa membabitkan peruntukan sebanyak RM100,000.

“Masalah bekalan elektrik ini sudah disalurkan sejak dua tahun lepas dan memang Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib berhasrat membaiki infrastruktur kawasan tersebut. Ini bukan gula-gula untuk undi,” katanya.

Dalam pada itu, Zolkafly berkata masalah bekalan air terputus di Kampung Orang Asli Changkat Ramu juga diselesaikan oleh Jakoa dan penduduk di perkampungan terbabit bakal menikmati bekalan air bersih pada minggu hadapan.

Menurutnya, masalah jambatan yang tidak boleh dilalui kenderaan berat memasuki kawasan kampung itu menyukarkan Lembaga Air Perak (LAP) melakukan penghantaran air bersih.

“InsyaAllah Kementerian Luar Bandar dan kerajaan negeri sentiasa prihatin untuk beri keselesaan kepada rakyat termasuk Orang Asli dan mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.

“Sebenarnya alternatif daripada Jakoa untuk menyalurkan semula bekalan air kepada masyarakat Orang Asli di kawasan tersebut telah dilaksanakan dengan peruntukan lebih RM20,000 bagi kerja memperbaiki sistem,” katanya.

Media melaporkan lebih 100 penduduk Kampung Orang Asli Changkat Ramu dan kampung berhampiran iaitu Kampung Sungai Teras, Kampung Buluh Seruas dan Kampung Sungai Jentong, Slim River di sini terputus bekalan air bersih sejak tujuh bulan lalu selepas pam menyedut air bawah tanah rosak.

– BERNAMA

Views:

531
Kongsi :
Previous post RUU langkah sementara pembiayaan Covid-19 ambil kira undang-undang negara, luar negara
Next post Karnival PenjanaKerjaya peluang buat pencari kerja
Ubah saiz-+=