
S-PLAN: LAHIRKAN LEBIH RAMAI CENDEKIAWAN ISLAM DARI MELAKA
KUALA LINGGI 22 Ogos – Penubuhan semula Sekretariat Pengurusan Pelajar Luar Negara Timur Tengah (S-Plan) antara komitment Kerajaan Negeri untuk melahirkan lebih ramai cendekiawan Islam dalam kalangan anak Melaka.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, S-Plan juga antara usaha melahirkan graduan tajaan Kerajaan Negeri yang berkualiti dan menamatkan pengajian dengan cemerlang.
Katanya, Kerajaan Negeri memberikan perhatian serius terhadap aspek itu bagi memastikan hasrat untuk menjadikan Negeri Melaka sebagai Hab Dakwah Nusantara pada masa hadapan dapat direalisasikan.
“Budaya hidup agama, budaya cintakan ilmu agama, budaya melestarikan agama dalam hidup seharian adalah tajuk penting kepada kerajaan hari ini, sekali gus memastikan kegemilangan Melaka sebagai pusat penyebaran Islam terkenal pada abad ke-14 dapat diulang pada masa hadapan.
“S-Plan melibat kerjasama Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM), Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Universiti Islam Melaka (UNIMEL) dan Kolej Al-Quran Sayyidina Ali (KAQSA),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Kursus Persediaan Pelajar Timur Tengah (KPTT) Negeri Melaka Bagi Tahun 2025 di Kampus UNIMEL, Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah, di sini, hari ini.
Hadir sama Naib Canselor UNIMEL, Prof Datuk Ts. Dr. Abdul Khalil Shawkataly, Pengurus Besar TAPEM, Abdul Aziz Baba serta Pengurus Baitulmal MAIM, Mohd Hairulamin Mohd Sis.
Menurutnya, antara peranan penting S-Plan adalah menganjurkan kursus yang bermatlamat untuk memberikan pendedahan awal senario kehidupan akan dilalui anak Melaka yang ditaja bagi melanjutkan pengajian ke universiti di Mesir, Jordan dan Morocco.
“Perkara ini amat penting sebagai persediaan untuk hidup di negara orang, seterusnya menanamkan kehendak dan niat mahu cemerlang dalam bidang pengajian masing-masing.
“Bagi merealisasikan perkara ini setiap tahun MAIM melalui TAPEM akan memperuntukkan sebanyak RM250,000 bagi menampung perbelanjaan 50 pelajar Skim Dermasiswa Pengajian Islam (DPI) tidak kira luar ada dalam negara.
“DPI adalah skim baharu yang menggantikan Skim Pinjaman Pelajar yang ditawarkan sebelum ini, ia bermaksud bagi dana zakat diagihkan melalui asnaf fi sabilillah dan asnaf gharimin ditukar daripada pinjaman kepada dermasiswa,” katanya.
Rahmad yang juga Timbalan Pengerusi MAIM berharap, penambahbaikan dilaksanakan itu diharap dapat membantu pelajar fokus dan bersungguh-sungguh dalam meraih kecemerlangan mengikut bidang pengajian mereka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.