‘Sabar dan reda terima ketentuan Allah’

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

TANJUNG BIDARA 15 Jun – Meskipun sedih dan kecewa tidak dapat menunaikan ibadah haji bagi Musim Haji 1442H kali ini, seorang nazir sekolah, Nor Suhaila Abdul, 45, tetap sabar dan reda dengan ketentuan Allah.

Baginya, segala perancangan dan persiapan mental dan fizikal untuk menunaikan ibadah itu tidak mampu mengatasi takdir Allah yang lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya.

“Saya menerima tawaran menunaikan haji mengikut jemaah Muassasah Lembaga Tabung Haji (TH) tahun lalu tetapi seperti jemaah yang lain, saya dianjakkan ke tahun ini berikutan pandemik COVID-19.

“Saya berdoa agar Allah menerima saya sebagai ‘duyurfurrohman’ (tetamu Allah) pada tahun ini tetapi Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk saya dan bakal jemaah haji yang lain,” katanya di kediamannya di Kampung Londang, di sini hari ini.

Nor Suhaila mendaftar dengan TH pada 2006 dan menerima tawaran menunaikan haji pada 2013 tetapi terpaksa menolaknya kerana baru bersalin anak kelima ketika itu.

Pada tahun lalu sekali lagi dia menerima tawaran yang sama tetapi terpaksa dianjakkan ke tahun ini berikutan keputusan Kerajaan Arab Saudi tidak membuka Makkah dan Madinah kepada jemaah haji dari seluruh dunia akibat pandemik COVID-19.

Sabtu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri dilaporkan berkata, Malaysia tidak akan menghantar jemaah haji bagi Musim Haji 1442H.

Ia adalah berikutan tindakan Kerajaan Arab Saudi memutuskan ibadah haji bagi musim ini dihadkan untuk warganegaranya dan warganegara lain yang sudah berada dalam negara itu sahaja.

Nor Suhaila yang bertugas sebagai seorang daripada Jemaah Nazir Melaka di Kementerian Pendidikan berkata, beliau sudah menyempurnakan kursus ibadah haji anjuran TH sebelum ini, selain bersedia mental dan fizikal bagi menghadapi cabaran untuk menunaikan ibadah itu.
Selain itu, beliau sudah menyiapkan pelbagai peralatan, terutama pakaian ihram dan berharap rayuan suami, Noor Azally Mohamad, 49, kepada TH untuk menjadi mahramnya ketika menunaikan ibadah berkenaan, diterima TH.

“Segala yang Allah suratkan untuk saya dan jemaah haji Malaysia serta dunia pada musim haji kali ini adalah rahsia Allah yang tiada siapa pun mampu mentafsirkannya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berdoa agar dipanjangkan usia dan dimurahkan rezeki untuk diterima menjadi tetamu Allah bagi musim haji 1443H kelak.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

833
Kongsi :
Previous post Festival Filem Malaysia ke-31 bakal diadakan Oktober ini
Next post ‘Awang Hitam’ tipu ustazah RM78,214 dicekup
Ubah saiz-+=