‘Awang Hitam’ tipu ustazah RM78,214 dicekup

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

AYER KEROH 15 Jun – Seorang lelaki warga Nigeria dipercayai terbabit ‘penipuan cinta’ dengan memperdaya seorang ustazah di Melaka, akhirnya dicekup di sebuah pangsapuri di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, pada Ahad lalu.

Suspek berusia 38 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka serta Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah Alor Gajah, dalam serbuan Op Tiong pada jam 12 tengah hari.

Ketua JSJK negeri Superintendan E Sundra Rajan berkata, penangkapan dilakukan hasil siasatan pihaknya berpandukan laporan daripada mangsa, seorang ibu tunggal berusia 49 tahun dari Alor Gajah.

KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan E Sundra Rajan

“Hasil serbuan, polis merampas pelbagai barangan termasuk 14 kad mesin juruwang automatik (ATM), tiga telefon bimbit, sekeping sampul kurier syarikat penghantaran, pasport negara Nigeria dan ipad.

“Siasatan awal mendapati, suspek tinggal di negara ini sejak Mac tahun lalu menggunakan pas lawatan sosial dan dipercayai tinggal lebih masa,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sundra Rajan berkata, suspek direman bermula Ahad hingga hari ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Polis juga masih menjalankan siasatan bagi mengesan rakan sejenayah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati terhadap individu yang baru dikenali dan tidak membuat pembayaran ke mana-mana akaun bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

“Orang ramai dinasihatkan untuk membuat semakan ke atas nombor telefon atau nombor akaun yang digunakan saspek melalui http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ sebelum melakukan apa-apa transaksi,” katanya.

Terdahulu Melaka Hari Ini melaporkan, mangsa mendakwa berkenalan dengan seorang lelaki menggunakan nama ‘Mahmudin Jaafar’ menerusi laman Facebook.

Mangsa menyatakan suspek berjanji mengirimkan hadiah termasuk barang kemas, kasut, telefon bimbit, pakaian dan wang tunai sebagai tanda perkenalan serta meluahkan rasa cinta menerusi kiriman mesej.

Dia kemudiannya menerima panggilan telefon daripada pihak kastam dan syarikat kurier yang memintanya membayar fi untuk melepaskan sekatan kiriman barang berkenaan dan mengalami kerugian RM78,214 apabila tidak menerima barangan berkenaan selepas melangsaikan bayaran.

BERITA BERKAITAN Ustazah rugi RM78,214 terpedaya ‘penipuan cinta’

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

767
Kongsi :
Previous post ‘Sabar dan reda terima ketentuan Allah’
Next post Perkhidmatan nikah cerai dan rujuk tangguh sepanjang PKP 3.0
Ubah saiz-+=