Ustazah rugi RM78,214 terpedaya ‘penipuan cinta’

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

MELAKA 10 Jun – Mengejutkan apabila seorang ustazah boleh diperdaya oleh seorang lelaki pada hari sama mereka berkenalan melalui Facebook hingga kerugian RM78,214.

Namun, itu fakta kes dimaklumkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri Superintendan E Sundra Rajan mengenai mangsa berusia 49 tahun berasal dari Alor Gajah itu yang mendakwa dia berkenalan dengan seorang suspek pada 28 Mei lalu.

“Sebagai tanda perkenalan suspek menyatakan hasratnya mahu menghantar bungkusan barang kemas untuk mangsa yang juga ibu tunggal.

“Dan pada hari sama yang sama wanita itu menerima panggilan telefon dari individu yang mendakwa dari sebuah syarikat.

“Mangsa dimaklumkan bungkusan daripada kenalannya itu sudah sampai dan mangsa diminta untuk membuat bayaran bagi menuntut bungkusan terbabit.

“Mangsa tanpa berasa curiga bertindak membuat bayaran menggunakan wang simpanannya secara berperingkat pada 28 Mei hingga 8 Jun lalu berjumlah RM78,214 ke dalam tiga akaun bank berbeza, atas pelbagai alasan seperti bayaran cukai kastam,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sundra Rajan berkata, selepas membuat bayaran suspek masih meminta wang daripada mangsa, namun tidak dituruti oleh wanita itu yang mula sedar dirinya ditipu untuk mendapatkan bungkusan tidak wujud.

“Mangsa membuat laporan di Balai Polis Alor Gajah pada 9 Jun dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu,” katanya sambil menambah mangsa mempunyai seorang anak.

Menurut Sundra Rajan, sehubungan itu pihaknya menegaskan kepada masyarakat supaya berhati-hati dan tidak mudah terjerat dengan cinta melalui laman sosial.

Katanya, orang ramai juga dinasihati memuat turun aplikasi “Semak Mule CCID” melalui Playstore untuk menyemak nombor telefon dan nombor akaun meragukan sebelum melakukan sebarang urusan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

455
Kongsi :
Previous post KPT Buka fasa kemas kini UPUOnline mulai 15 Jun
Next post Penganggur wanita rugi lebih RM2 juta ditipu sindiket Macau Scam
Ubah saiz-+=